utama

Doa 29 tahun

Oleh D J Dolasoh

Lenggong: Doa seorang ibu selama 29 tahun supaya dipertemukan semula dengan anak sulungnya termakbul apabila dia serta keluarga bertemu anaknya itu buat kali pertama di rumah keluarga angkat anaknya, di sini, semalam.

Dalam pertemuan penuh syahdu di Kampung Chepor, di sini, Lela Kassim, 58, tidak menduga doanya siang malam menjadi kenyataan selepas anak sulungnya, Nooraliza Safie, 29, terpisah dengannya sejak 29 tahun lalu.

Lela berkata, pertemuan itu diatur anak-anaknya dan keluarga angkat anak sulungnya itu di rumahnya di kampung itu selepas hanya tiga minggu mereka (anak) bertemu semula melalui laman sosial facebook (FB).

“Saya bersama suami, Safie Tamin, 61, dan anak kini lega dengan pertemuan ini kerana saya sangat kehilangan selepas berpisah dengan Nooraliza selepas dia dilahirkan.

“Saya dan suami bersetuju menyerahkan Nooraliza selepas tiga hari dilahirkan kepada seorang anggota tentera bernama Marzuki ketika di Selayang, Selangor pada 1988.

“Saya menyerahkannya melalui seorang rakan suami,” katanya.

Lela berkata, dia dan suami seorang pemandu lori syarikat ketika itu bersimpati terhadap Marzuki yang belum dikurniakan anak dengan ikhlas menyerahkan anak sulung mereka itu selepas diminta bersungguh-sungguh untuk menjaganya.

Menurutnya, selepas beberapa bulan dia terputus hubungan dengan Marzuki yang ditugaskan ke Sabah. Dia dan suami berusaha menjejakinya sehingga bulan lalu tetapi tidak mendengar khabar di mana Nooraliza berada.

“Namun selepas anak kami bertemu melalui FB sehingga meyakinkan saya dan suami bahawa Nooraliza yang berada di Lenggong adalah anak kandung kami lalu merancang datang ke sini.

“Kami datang 14 orang bersama anak, menantu dan cucu dengan tiga kereta jam 1 tengah hari. Syukur alhamdulillah, doa saya selama ini dimakbulkan Allah,” katanya ditemui di rumah Marzuki di Kampung Chepor, di sini.

Sementara itu, Nooraliza berkata, pencariannya di FB hanya dua minggu sebelum mengesan adik kandungnya Norhalina dan Mastura yang tinggal bersama bapanya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur yang mengaku bersaudara dengannya ketika saya cuba menjejaki mereka di laman sosial itu.

“Pada mulanya saya kurang yakin, tetapi selepas mendapati bukti daripada nama bapa dan cerita seperti yang diceritakan ibu angkat, Aminah Mohamad, 53, selain iras wajah kami hampir sama menyebabkan saya yakin mereka adalah keluarga kandung saya.

“Ketika hendak berkahwin dengan suami, Muhammad Marzuki Nordin, 35, pada Jun 2013 lalu saya sudah iklan untuk mencari wali melalui akhbar, tetapi gagal.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan pertemuan semula dengan keluarga sebenar saya ini namun tidak bercadang mengikut mereka ke Kuala Lumpur,” katanya

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 6:32am
d