utama

Uji keupayaan

Oleh Norhadiani Baharom

Daripada penyanyi bernada tinggi, Black, 30, beralih kepada nyanyian bernada rendah dan ia dilihat sebagai satu lagi proses menguji keupayaannya sebagai penghibur.

Sakit Kurasa yang menjadi pertaruhan terbaru Black adalah single yang sama sekali berbeza dengan seleksi lagu yang pernah dinyanyikannya kerana ia bukan kategori lagu ‘bunuh diri’ yang menjadi ‘makanannya’ sebelum ini.

Bagi halwa telinga yang sudah terbiasa mendengar lagu bekas juara Mentor musim ketiga ini, mungkin berasa sedikit kurang puas. Namun, ia adalah proses perubahan yang cukup mencabar buat Black.

“Saya harap peminat boleh terima lagu ini kerana ia sangat berbeza berbanding lagu yang pernah saya nyanyikan. Kelainannya adalah dari segi melodi dan ‘range’ lagunya yang sangat rendah. Barangkali ia tidak puas didengar bagi mereka yang sudah terbiasa dengan nyanyian bernada tinggi daripada saya.

“Tetapi saya fikir, kenapa tidak melakukan sedikit perubahan? Sejak mula nyanyian saya menjurus kepada lagu bernada tinggi, contohnya lagu Aku Rindu Sayang Kamu yang mencecah nota F#. Sehingga ramai yang komen nak ‘terkucil’ menyanyikan lagu itu.

“Saya ingin mencuba sesuatu yang baru dan mahu peminat tahu saya juga mempunyai nada suara rendah sedap didengar sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa nyanyian saya untuk lagu bernada rendah kurang kemas,” kata Black.

Melanjutkan bicaranya, Black atau nama sebenarnya, Hanafiah Md Hanifah tidak melihat perubahan nyanyian bernada tinggi kepada nada rendah adalah satu perkara yang menjatuhkan ‘standard’ kerana keupayaan ‘range’ suaranya serta penguasaannya dalam pelbagai genre sudah diketahui umum. Sebagai penyanyi dia ingin mencari kepuasan dan mengasah bahagian vokalnya yang jarang digunakan.

Tidak hanya berbeza dari segi ‘range’ vokal, Sakit Kurasa adalah karya nukilan Zul 2 by 2 dan lirik gandingan bersama Black serta komposer itu mengisahkan seseorang yang masih terpenjara dengan kisah cinta silamnya.

Jika sebelum ini lagu seperti Anugerah Terindah, Takkan Terpisah dan Sofia Jane adalah karya aprisiasi buat wanita, berlainan pula dengan Sakit Kurasa kerana ia menggambarkan seorang lelaki yang patah hati serta tidak mampu lagi berjuang mempertahankan cintanya.

“Dari segi lirik pun saya cuba melakukan kelainan apabila menggunakan perkataan yang sedikit unik dan berbeza. Contohnya ada satu bahagian bait lirik itu, saya memakai perkataan langit-langit yang membawa erti memandang ke langit.

“Percubaan menulis lirik adalah salah satu cara untuk saya melengkapkan pengetahuan muzik. Tambahan pula ketika bersekolah dulu saya pelajar kelas sastera jadi kenapa tidak cuba memperkayakan lirik dengan bahasa Melayu yang ‘standard’?

“Apatah lagi peminat juga memberikan maklum balas yang sangat positif mengenai hal ini,” kata bapa seorang cahaya mata ini.

Bercakap mengenai topik ‘move on’ ini, Black pernah mengalami kesukaran keluar dari kesedihan hati terutama sewaktu kehilangan Allahyarham neneknya.

Sangat rapat dengan nenek, sebagai cucu kesayangan tentunya berita pemergian neneknya sewaktu melakukan latihan peringkat akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-20, sesuatu kehilangan yang cukup menyedihkan.

“Allahyarham kembali ke rahmatullah ketika saya sibuk dengan persiapan menghadapi final AJL ke-20. Sudahlah masa itu, baru saja selesai program Mentor dan terpilih pula ke AJL20, jadinya sedih bukan kepalang kerana belum sempat saya membalas jasa nenek, arwah pergi meninggalkan saya, “ katanya.

Bercakap mengenai perancangannya mengembangkan syarikat Nyawa Black Music iaitu sebuah label rakaman, Black sedang merangka kerjaya seni tiga anak didiknya, Sheera, Hafif dan Nuzul.

Sheera bakal tampil dengan single Redakanlah yang dihasilkan oleh Cikgu Deli dan lirik ditulis Black sendiri.

“Saya mahu fokus kepada bidang penulisan lirik kerana berasakan seseorang artis tidak boleh berasa selesa berada di takuk yang sama. Hidup perlukan perubahan dengan mencuba sesuatu yang baru dan kecenderungan saya menulis lirik mutakhir ini adalah sebagai pelengkap menjadi seorang pengkarya seni yang berilmu,” katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 7:08am
d