utama

Kejar sampai dapat

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Cubaan seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah bukan saja tidak berjaya malah dikejar penduduk kampung sejauh 1.5 kilometer sebelum ditahan di Parit Tiga Setengah di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang, lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai cuba membuka pintu rumah Salamah Ukir, 74, menggunakan pemotong kunci sebelum disedari menantu mangsa, Johari Daud, 61, bersama anak lelakinya yang pulang dari masjid selepas solat Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek yang terkejut melihat kehadiran Johari melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di depan rumah mangsa.

“Ketika kejadian, suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah.

“Suspek melarikan diri sambil dikejar Johari serta penduduk kampung yang melihat insiden berkenaan.

“Setibanya di lokasi, motosikal suspek dilanggar di bahagian belakang dan dia terjatuh ke tepi jalan sebelum suspek berulang kali meminta maaf kepada Johari,” katanya.

Nor Azmi berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menceroboh.

Sementara itu, Johari berkata, dia bersama anak lelaki menunaikan solat Jumaat ketika kejadian dan hanya ada ibu mentua di rumah.

“Ketika sampai di rumah dari masjid, saya lihat sebuah motosikal diparkir di depan rumah.

“Curiga dengan situasi itu, saya memperlahankan motosikal dan melihat seorang lelaki cuba membuka pintu rumah,” katanya.

Johari berkata, dia terus menjerit meminta tolong menyebabkan lelaki itu kelam-kabut dan melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diparkir.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 8:13am
d