utama

Beratnya dugaan mereka [METROTV]

Oleh Mazizul Dani

"SEMENTARA masih ada kesempatan, saya akan ikhtiarkan apa saja cara untuk mengubati penyakitnya sehingga sembuh," kata Mohd Yusof Mohd Hashim, 31, yang tidak mahu berputus asa demi isterinya, Noor Fatiha Mohd Sa'ad, 30, yang menderita kanser limfoma tahap empat.

Noor Fatiha kini terlantar di rumah ibu bapanya di Raub, Pahang kerana sudah hilang keupayaan untuk berjalan dan pendengarannya juga merosot selepas sel kanser merebak ke hati dan serviks.

Dia juga tidak mampu untuk bertutur kerana lelangitnya sudah dimamah sel kanser dan tidak boleh menelan makanan dan kini hanya bergantung kepada susu sebagai sumber nutrisi.

Mohd Yusof yang juga seorang pemandu berkata, dia tidak sanggup melihat keadaan isterinya itu dan akan meluangkan masa kira-kira 15 minit saja setiap kali bertemu.

"Saya rindukan suasana bersamanya di rumah sewa kami di Bandar Sri Damansara. Rindu nak kena marah dengan dia. Setiap saat ketika kami tinggal bersama-sama sebagai satu keluarga dahulu cukup membahagiakan.

"Paling menyedihkan, dia langsung tidak berkesempatan untuk melihat anak kedua kami, Muhammad Adrian Mohd Yusof, 10 bulan, membesar kerana dijaga keluarga saya di Ipoh, Perak malah tidak berpeluang menyusukannya kerana penyakit itu," katanya yang gagal menahan air mata ketika ditemubual Harian Metro, hari ini.

Kehidupan Mohd Yusof juga semakin sukar sejak Julai lalu apabila bukan saja terpaksa berpisah dengan isteri dan anak kedua, tetapi juga anak pertama, Nur Adrianna Aisyah Mohd Yusof, 2, yang berada bersama isteri dan keluarga mentua manakala dia meneruskan kehidupan mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Menceritakan kembali waktu Noor Fatiha disahkan menghidap kanser itu (Non Hodgkin NK/T cell Lymphoma), isterinya mengadu mengalami sakit hidung ketika mengandung 5 bulan anak kedua pada pertengahan tahun lalu.

"Dia mengadu sakit, sukar bernafas dan tidak boleh tidur kerana hidung tersumbat, ada lebihan daging di dalam hidungnya tetapi ketika itu masih belum tahu yang itu adalah kanser. Doktor juga tidak boleh beri ubat kerana bimbangkan kandungannya.

"Selepas melahirkan anak kedua pada September tahun lalu, baru tahu yang kesakitan dialami selama ini disebabkan kanser. Itupun selepas tiga ujian dilakukan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Ada sekali buat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), tetapi mereka juga gagal kesan sel kanser itu," katanya.

Noor Fatiha hanya sempat menjalani tiga kali rawatan kimoterapi daripada enam sesi di Hospital Ampang kerana doktor memaklumkan yang rawatan seterusnya terlalu berisiko dan menasihati keluarga untuk membawanya pulang ke kampung.

"Doktor maklumkan pada masa itu, isteri saya boleh hidup kira-kira sebulan saja. Sekarang sudah melepasi tempoh itu dan saya harap dia akan sembuh satu hari nanti. Rasa segan sebenarnya untuk bercerita mengenai penderitaan kami sekeluarga.

"Tapi saya terpaksa kerana perlu mencari wang mengubati isteri dan perbelanjaan dua anak yang dijaga keluarga kami. Alhamdulillah sekarang ini ada pihak yang sudah menderma. Jadi ada sedikit wang untuk saya bawa isteri menjalani rawatan alternatif," katanya.

Mohd Yusof yang menyewa bilik di Pandan Mewah, Ampang bersama rakan akan berulang-alik untuk bertemu isteri dan anak-anaknya sekiranya wang mencukupi dan dia tidak membawa isterinya menjalani rawatan sebelum ini selain kimoterapi kerana masalah kewangan.

“Saya takut tak sempat. Sekarang sudah tahap empat. Saya rasa macam sudah dekat, tak bawa berubat sebelum ini sebab tak ada duit. Esok saya mahu ke Jerantut untuk bawanya berubat, saya nak cari tempat terbaik untuk ubati isteri.

“Ramai juga yang hubungi saya dan beritahu lokasi berubat dan ada juga yang mempromosikan makanan tambahan dan ubat-ubat lain. Tetapi kanser ini tidak semuanya sama kerana doktor katakan yang kanser isteri saya paling agresif,” katanya.

Sebarang sumbangan untuk Noor Fatiha Mohd Sa’ad boleh disalurkan menerusi Bank Rakyat - 220411407367 (Mohd Sa’ad Bin Jemangin, Bapa); Maybank - 156244127091 (Fatima Binti Ibrahim, Ibu) dan Maybank - 514383572966 (Mohd Yusof Bin Mohd Hashim, Suami).

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 11:50pm
d