utama

'Rezeki' pertemuan dengan Fizo

Oleh Ramlah Zainal

Setiap manusia tidak terlepas berdepan ujian dalam hidup mereka.

Bagi pelakon yang menempa nama menerusi drama Hati Perempuan, Saharul Ridzwan, dia pernah berdepan dengan dugaan getir, baru-baru ini.

Saharul yang baru saja bergelar bapa kepada Muhammad Luth Ali, dua bulan, berkata, semuanya bermula pada Ramadan lalu.

“Saya berehat seketika pada Ramadan kerana mahu fokus bisnes serunding.

“Tak sangka pula nama terus merudum hingga tiada sebarang tawaran berlakon.

“Walaupun bisnes serunding untung, saya tidak tahu ke mana hilangnya duit itu hingga baki dalam akaun tidak sampai RM100,” katanya.

Kata Saharul, ujian datang bertimpa apabila anak lelakinya, Ali jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital.

“Saya terpaksa berhutang termasuk untuk membayar bil hospital.

“Saya juga tidak beritahu isteri (Qaabila Deena Emir) masalah itu kerana dia masih berpantang.

“Ketika saya jatuh dan berdepan masalah kewangan, hanya ada ahli keluarga terdekat di sisi dan seorang dua kawan datang menghulurkan bantuan,” katanya.

Namun, kata Saharul, dia bersyukur kerana pertemuan dengan pelakon dan usahawan Fizo Omar mengubah hidupnya.

“Saya memang sudah kenal Fizo dan putuskan untuk meminta bantuannya dalam bidang bisnes.

“Menurut Fizo, saya insan terpilih untuk menerima ujian daripada Allah SWT dan perjalanan hidup saya juga tidak banyak beza dengannya.

“Fizo banyak mengajar saya untuk kenal siapa diri ini. Saya juga perlu betulkan semula niat ketika menceburi bisnes termasuk tidak lalai membayar zakat dan menderma ke rumah anak yatim.

“Selepas pertemuan dengan Fizo, rezeki mula datang malah tawaran berlakon tidak putus hingga Oktober depan,” katanya.

Saharul berkata, dia juga mula menghargai setiap rezeki yang diperolehnya hari ini.

“Saya percaya setiap rezeki yang kita dapat sebahagiannya untuk dikongsi dengan golongan lebih memerlukan.

“Oleh itu, saya menceburi bisnes pakaian ‘Streetwear’ di laman Instagram @bangikix.my apabila sebanyak 30 peratus daripada jualan disalurkan kepada Rumah Kasih Sayang di Rawang,” katanya.

Nafi ‘demand’

Dalam pada seronok melunaskan tanggungjawab di set penggambaran, ada pihak mendakwa Saharul sudah mula ‘demand’ soal bayaran.

Perkara itu dinafikan Saharul malah menegaskan bayarannya masih sama seperti dulu.

“Berbanding dulu, saya tidak lagi bertanya soal bayaran. Saya meng­hargai setiap rezeki yang diberikan Allah SWT,” katanya.

Antara drama terbaru lakonan Saharul ialah Chor & Chah terbitan Suhan Movies yang menyaksikan gandingan mantapnya dengan Ummi Nazeera dan Luqman Hafidz.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 4:23am
d