utama

Aura ada misi tersendiri

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Di negara kelahirannya figura cantik dan tinggi lampai ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Pembabitannya dalam pertandingan ratu cantik Miss Indonesia pada 2007 berjaya membawa nama Aura Kasih, 30, ke dunia glamor.

Sejak itu tawaran membintangi drama dan filem tidak pernah putus. Malah Aura atau nama sebenarnya Sanny Aura Syahrani pernah merakamkam dua album pada 2008 dan 2009.

Seiring populariti diraih, nama Aura Kasih juga tidak pernah sunyi daripada tempias gosip dan kontroversi terutama membabitkan kisah cinta.

"Sejujurnya saya penat asyik dikaitkan cerita sama. Mungkin disebabkan saya masih solo dan tak pernah mendedahkan kisah peribadi membuatkan gosip itu timbul.

"Saya memang tak suka bercerita hal peribadi. Kalau boleh biarlah mengenai kerjaya saja. Namun berada dalam bidang ini memang sentiasa dikejar dengan cerita sebegini. Kalau betul saya berkawan dengan seseorang ia pasti diketahui juga.

"Namun apa yang diperkatakan selama ini adalah rekaan dan tak betul sama sekali. Mungkin juga disebabkan orang jarang melihat saya keluar dengan rakan perempuan membuatkan gosip itu timbul," katanya.

Aura berkata, sepanjang 10 tahun berkarya dalam industri hiburan Indonesia dia sentiasa yakin jika gosip atau perkara yang tidak betul pasti cepat berlalu pergi.

Pada masa sama, Aura yang popular menerusi drama bersiri Pashmina Aisha tidak pernah menjadikan cerita negatif yang timbul itu satu bebanan untuknya.

“Prinsip hidup saya mudah iaitu jangan ambil pusing perkara yang tak betul. Saya sudah tetapkan dalam fikiran untuk melupakan terus setiap perkara negatif. Bagi saya, masalah yang dicipta oleh pihak lain biarkan menjadi urusan mereka. Tidak perlu membebankan diri untuk menjawab satu persatu. Banyak lagi perkara lain lebih penting untuk diselesaikan,” katanya.

Apa yang lebih penting buat Aura adalah fokus dengan kerjaya lakonan. Dia punya misi tersendiri dalam bidang diceburi. Apatah lagi dia kini mengambil keputusan berlakon filem selepas lapan tahun terbabit dalam drama bersiri.

“Sebelum ini saya banyak terbabit dalam drama bersiri dan nyanyian. Diakui berlakon dalam siri panjang menyukarkan saya untuk berlakon filem. Bukan tak boleh, tetapi saya jenis fokus pada satu kerja.

“Lagipun, kalau fikir secara logik, memang tak ada masa nak berkejar ke tempat lain. Saya pernah terbabit dalam drama bersiri 100 dan 200 episod. Boleh dikatakan setiap hari masa dihabiskan di lokasi penggambaran.

“Jadi tahun ini saya mengambil keputusan kembali ke layar perak. Tawaran berlakon dalam filem Surat Kecil Untuk Tuhan (SKUT) adalah langkah awal saya kembali aktif berlakon filem,” katanya.

Gementar

Aura mengakui, berlakon dalam SKUT yang ditayangkan di seluruh negara pada 3 Ogos lalu memberikan cabaran untuknya. Apatah lagi selepas sekian lama tidak muncul di layar lebar membuatkan Aura hilang keyakinan untuk menerima tawaran itu.

“Kali terakhir saya berlakon filem pada 2009. Jadi ketika membaca skrip filem itu saya terus bertanya dalam diri sama ada boleh atau tidak melakonkan watak itu. Diakui ini antara cabaran kerana wujud perasaan takut dan kurang yakin dalam diri selepas sekian lama tidak berlakon filem.

“Menguatkan lagi perasaan itu apabila saya perlu bergandingan dengan beberapa pelakon berpengalaman lain seperti Bunga Citra Lestari, Joe Taslim dan Lukman Sardi. Namun kata-kata semangat orang sekeliling membuatkan saya nekad menerima tawaran itu,” katanya.

Cabaran itu dimanfaatkan Aura untuk belajar lebih banyak lagi mengenai seni lakon.

“Sebelum ini saya banyak berlakon drama, jadi pengalaman di layar perak kurang. Pada masa sama lakonan dalam drama dan filem berbeza. SKUT adalah filem kedua saya. Jadi ketika penggambaran, saya banyak belajar daripada Rifnu dan Bunga. Dari situ saya menyesuaikan diri serta mendalami karakter dan dialog yang berat,” katanya.

Aura juga menjelaskan dia ada alasan tersendiri kenapa berehat lama daripada berlakon filem selain terbabit dalam drama bersiri panjang.

“Setiap pelakon inginkan naskhah bagus untuk menonjolkan bakat mereka. Begitu juga saya yang sangat teliti dalam pemilihan karya. Bukan tak ada sebarang tawaran filem sebelum ini, tetapi saya berasakan watak itu tak sesuai.

“Jadi apabila ditawarkan SKUT ini saya berasakan ini karya terbaik yang boleh memperkenalkan semula nama saya ke layar perak. Biarpun ia hanya melakonkan watak pembantu, saya tetap menganggap ia penting.

“Saya menjadikan ia peluang dan kesempatan untuk membuktikan bakat sebenar. Pada masa sama, saya nak menyampaikan mesej dalam filem ini kepada masyarakat,” katanya.

Berkongsi mengenai watak Ningsih yang dilakonkan dalam filem itu, Aura berkata dia mengambil masa dua minggu untuk mendapatkan karakter sebenar.

“Watak itu keluar dari zon selesa saya selama ini. Disebabkan itu saya menganggap ia satu cabaran. Malah menerusi watak ini, orang tak nampak diri sebenar saya. Ia memang jauh berbeza.

“Menerusi watak ini juga saya perlu bermain dengan emosi dan ekspresi wajah. Disebabkan itu, setiap kali menjalani penggambaran timbul rasa sedih. Mungkin juga disebabkan terlalu menjiwai watak itu.

“Ditambah pula jalan cerita filem ini yang diakui mampu meruntun jiwa penonton. Setiap babak itu cukup terkesan. Bukan saja saya, malah pelakon lain juga,” katanya.

Filem itu turut dibintangi Ben Joshua, Maudy Koesnaedi, Chew Kin Wah, Susan Bachtiar dan Jeroen Lezer.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 4:35am
d