utama

Teladan skuad kerdil

Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim yakin kelibat Shahrel Fikri Md Fauzi bersama skuad kebangsaan akan memberi impak positif kepada pasukan bimbingannya untuk mengharungi baki Liga Perdana dan Piala Malaysia.

Ini kerana menurut Bakar, pemilihan itu bukan saja pendedahan terbaik buat Shahrel, malah secara tidak langsung menambah keyakinan dalam kalangan rakan sepasukannya.

“Sebagai jurulatih, saya gembira serta bangga. Dia bukan saja pemain tunggal dari Liga Perdana, malah datang dari kelab kurang ternama seperti PKNP.

“Ini membuktikan, tidak kira dengan pasukan mana sekalipun anda bermain, jika bagus, orang akan buka mata dan beri peluang.

“Saya yakin pemilihan Shahrel bukan sekadar memberi sesuatu yang positif untuk dirinya, malah akan menaikkan semangat pemain muda PKNP yang lain.

“Sudah pasti mereka juga mahu menjadi seperti Shahrel serta mengikut jejaknya. Ini secara tidak langsung akan memberi impak positif kepada PKNP,” katanya.

Menurut Bakar, PKNP yang kini menduduki tangga keempat Liga Perdana masih mampu memberi cabaran kepada Kuala Lumpur, Terengganu dan Negeri Sembilan bagi merebut dua slot automatik ke Liga Super musim depan.

Mereka yang mengumpul 37 mata kini hanya dibezakan empat mata dengan Kuala Lumpur dan Terengganu sementara Negeri Sembilan pula mengatasi mereka dengan satu mata.

Kelab itu turut membuat kejutan apabila melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia dengan mengungguli Kumpulan A yang turut disaingi Pahang, Negeri Sembilan dan T-Team.

“Layak ke suku akhir Piala Malaysia satu bonus. Malah, kami tidak jangka akan menjadi pesaing utama dalam Liga Perdana.

“Memandangkan saingan untuk ke Liga Super masih terbuka, kami akan mencuba hingga ke perlawanan terakhir,” ujar Bakar.

PKNP akan berdepan Negeri Sembilan, Kuantan FA dan Terengganu dalam baki Liga Perdana yang bersambung selepas tamat Sukan SEA bulan depan.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 5:03am
d