utama

Serbu seminar jualan langsung

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Sebuah syarikat jualan langsung tidak berlesen dipercayai mengaut keuntungan RM700,000 selepas memperdaya lebih 20 usahawan di Terengganu berkaitan pembelian mesin layan diri dan mesin pencuci kereta.

Bagaimanapun, tembelang syarikat berkenaan terbongkar susulan satu operasi dijalankan Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu di sebuah hotel, di sini, jam 5 petang kelmarin.

Dalam serbuan itu, KPDNKK Terengganu menyita sebuah mesin layan diri dan mesin pencuci kereta automatik bernilai RM80,000 dipercayai milik syarikat berkenaan yang dibawa tujuh individu ketika mengadakan seminar di hotel berkenaan.

Pengarah KPDNKK Terengganu Azlan Abd Samat berkata, serbuan dilakukan pihaknya susulan aduan diterima daripada mangsa yang kebanyakan usahawan baru, pengusaha hotel dan pelajar pusat pengajian tinggi.

Menurutnya, siasatan mendapati syarikat berkenaan memperdaya pelanggan mereka melalui panggilan telefon serta mengiklankan peluang penjanaan pendapatan secara dalam talian melalui media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp serta WeChat.

“Selepas membuat panggilan berkenaan, syarikat terbabit meminta mangsa untuk menghadiri seminar yang diadakan di hotel terpilih.

“Pihak syarikat berkenaan meminta pelanggan menghadiri taklimat dan seminar kononnya untuk memasarkan produk dengan menyediakan pelan pemasaran kepada mangsa selain menawarkan baucar percutian percuma.

“Sekiranya pelanggan berminat, syarikat itu minta pelanggan membuat pembayaran pendahuluan serta membantu mereka membuat pinjaman sementara bakinya boleh dibuat secara pinjaman dengan pihak syarikat atau membayarnya secara ansuran,” katanya ketika sidang media di Stor Penyimpanan KPDNKK Terengganu di Chendering, di sini, semalam.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 6:56am
d