utama

Tragedi bot terbalik

Oleh Mohammad Ishak

PENUNTUT universiti meninggal dunia dipercayai lemas selepas bot dinaikinya bersama 14 orang lagi dari Pulau Perhentian, Besut rosak enjin sebelum terbalik dalam kejadian kira-kira 11 pagi hari ini.

Mangsa,Nurnasibah Husna Ibrahim, 21, yang berasal dari Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh meninggal dunia manakala 14 lagi penuntut termasuk enam daripadanya cedera dan kini dirawat di Klinik Kesihatan Kuala Besut dan Hospital Besut.

Kejadian dipercayai berlaku di perairan berhampiran Pulau Rhu iaitu kira-kira lima kilometer dari Jeti Pelancongan Kuala Besut.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai lemas.

Menurutnya, lima mangsa kini dirawat di Klinik Kesihatan Kuala Besut manakala sembilan lagi dihantar ke Hospital Besut kerana mengalami cedera ringan.

Katanya, ketika kejadian kesemua mereka yang juga penuntut beberapa universiti tempatan dalam perjalanan ke Jeti Kuala Besut selepas menyertai perhimpunan penuntut univsersiti di pulau pelancongan berkenaan.

"Kesemua mereka yang memakai jaket keselamatan diselamatkan beberapa bot pelancong yang kebetulan melalui kawasan itu sebelum membawanya ke jeti," katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 5:43pm
d