utama

Perlu sokongan semua

Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba pelakon baru Fikry Ibrahim terpalit kontroversi kononnya berlagak di sebuah set penggambaran drama.

Malah, pelakon Hero Seorang Cinderella itu turut dikatakan sering merungut tidak tahan cuaca panas sepanjang penggambaran dan cuba menumpang populariti pelakon Fattah Amin.

Menjelaskan perkara itu, Fikry berkata dia terkejut dan kecewa apabila namanya dikaitkan dengan perkara tidak benar.

Menurut pelakon berusia 23 tahun itu, sekiranya benar dia bersikap sedemikian, pihak terbabit sepatutnya menegur secara berdepan dan menyatakan kesalahannya.

“Tuduhan ini tidak benar sama sekali. Saya juga hairan bagaimana perkara sebegini boleh timbul sedangkan saya tidak pernah berlagak.

“Saya kecewa apabila ada pihak seolah-olah sengaja mencipta isu sebegini. Sebagai orang baru saya tahu di mana kedudukan saya dalam industri ini. Takkan saya nak berkelakuan sedemikian sedangkan perlukan sokongan dan tunjuk ajar daripada mereka.

“Terus terang, saya sangat takut dengan gosip atau pun khabar angin. Jika boleh, datanglah bersemuka dan meminta penjelasan saya sendiri. Tidak perlu cakap-cakap belakang kerana akan menimbulkan persepsi kurang enak orang terhadap saya,” katanya.

Sambung Fikry, sekiranya ada pihak yang terguris hati atau kurang selesa dengan sikapnya selama ini, dia mohon maaf.

“Saya masih ‘hijau’ dalam bidang ini dan perlukan sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Diminta memberi komen apabila ada pihak mengatakan dia adalah pencabar kepada Fattah, Fikry dengan rendah hati memaklumkan dirinya baru bertatih dan tidak wajar diletakkan sama tinggi dengan pelakon popular itu.

“Kalau lihat populariti yang diraih Fattah, kami ibarat langit dan bumi. Saya masih mentah dan masih mencari-cari rentak untuk bertapak dalam dunia lakonan.

“Bagaimanapun, saya ambil setiap pujian, komen dan kritikan sebagai motivasi serta iktibar untuk lebih berjaya dalam kerjaya ini,” katanya. -Najiy Jefri

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 2:10am
d