utama

Ya Allah, ampunilah, rahmatilah dia...

Oleh Mazizul Dani

NOOR Fatiha Mohd Sa'ad, 30, yang menderita kanser limfoma tahap empat meninggal dunia di Hospital Raub, 9.30 pagi, hari ini.

Suaminya, Mohd Yusof Mohd Hashim, 31, ketika dihubungi berkata, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Malim, Raub, Pahang.

“Jenazah isteri selamat dikebumikan selepas Solat Zohor. Terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga sebelum ini.

“Duit sumbangan yang ada akan saya gunakan untuk menampung keperluan dua anak kami,” katanya.

Mohd Yusof berkata, dia sebenarnya bercadang membawa Allahyarham berubat di Kelantan hari ini tetapi bersyukur menunda perjalanan itu kerana Allahyarham mengalami pendarahan sebelum dibawa ke Hospital Raub.

“Buat masa ini tiada perancangan lain, anak pertama, Nur Adrianna Aisyah, 2, masih bersama keluarga mentua di Raub manakala anak kedua, Muhammad Adrian, 10 bulan, bersama keluarga saya di Ipoh, Perak.

“Saya akan meneruskan kehidupan dengan bekerja di Kuala Lumpur. Saya mohon semua untuk mendoakan Allahyarham isteri saya,” katanya.

Kisah Noor Fatiha disiarkan di portal berita Harian Metro (HM) pada Isnin lalu apabila Mohd Yusof memohon sumbangan untuk mengubati isterinya dan menampung perbelanjaan dua anak mereka.

Mohd Yusof pada waktu itu berkata yang dia tidak akan berputus asa mencari penawar penyakit isterinya yang disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak Oktober tahun lalu selepas melahirkan anak kedua.

Berita berkaitan:

Beratnya dugaan mereka [METROTV]

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 5:14pm
d