utama

Kejinya perbuatan kamu [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

BUKAN hanya melakukan perbuatan terkutuk pada hari biasa, bapa yang didakwa meliwat anak kandungnya turut berdepan tuduhan itu sepanjang Ramadan lalu termasuk pada 1 Syawal.

Prosiding pendakwaan ejen unit amanah itu yang didakwa meliwat, merogol dan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun disambung di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Putrajaya, hari ini, dengan baki 444 pertuduhan liwat dibaca di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Sebaik pertuduhan dibacakan, tertuduh berusia 36 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Semalam, 182 pertuduhan dihabiskan sebelum baki sebanyak 444 baki pertuduhan dibaca hari ini dengan keseluruhan 626 pertuduhan dibaca termasuk pertuduhan paling banyak membabitkan 594 pertuduhan liwat.

Berdasarkan pertuduhan liwat dibaca semalam dan hari ini, dia didakwa melakukan perbuatan itu hampir setiap hari sejak tujuh bulan lalu iaitu sepanjang Januari, Februari, Mac, April dan Jun selain 28 hari pada Mei dan 20 hari pada Julai lalu.

Pada prosiding pendakwaan hari pertama semalam, tertuduh turut berdepan 30 tuduhan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuannya antara 6 hingga 1 pagi, pada 11 Julai hingga 20 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14/16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh yang juga mempunyai hak penjagaan terhadap mangsa turut didakwa melakukan penganiayaan seks antara 1 Januari hingga 21 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2016, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, lelaki itu turut dituduh merogol mangsa di tempat sama, pada 2 petang, 21 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan liwat pula, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Yong Zarida menetapkan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan kes sebutan semula kes ditetapkan pada 18 September.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali dan Aimi Syazwani Sarmin manakala, kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, S Umma.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 1:25pm
d