utama

Tragedi tayar lori tercabut

Oleh Amran Yahya

SUAMI isteri maut apabila dua tayar lori sarat membawa pasir tercabut lalu merempuh motosikal dinaiki mereka di Kilomter 10, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, berdekatan Ladang Juasseh, hari ini.

Kejadian 10.55 pagi itu menyebabkan Azizan Sahari, 43, dan isteri Nor Baiti Awang, 44, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika pasangan terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Putra, sebaik mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Juasseh.

Sebaik tiba di lokasi, dua tayar bahagian tengah lori dipercayai seberat 150 kilogram tercabut lalu merempuh motosikal pasangan itu dari arah bertentangan.

Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke pagar berduri milik Ladang Juasseh manakala tayar berkenaan terpelanting ke kiri jalan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abd Wahab berkata, polis sudah mengambil keterangan pemandu lori berusia 49 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 198.

"Mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk bedah siasat," katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 5:43pm
d