utama

Dalang sindiket dadah mati ditembak

Oleh Nasrawati Syarifuddin

POLIS Tawau menembak mati lelaki disyaki ketua sindiket pengedaran dadah di tepi jalan berhampiran Cowie Bay dekat Tawau, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, sebelum kejadian 11.40 malam itu, polis mengekori kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki suspek berusia 35 tahun itu.

Beliau berkata, pihaknya mengesyaki suspek terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan jenayah kekerasan di daerah ini.

"Sebaik menyedari diekori, suspek memecut kenderaannya.

"Kenderaan dipandu suspek bagaimanapun terbabas ke kiri bahu jalan sebelum polis cuba menangkapnya. Namun, dia enggan beri kerjasama selain bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan.

"Pada masa sama, suspek mengeluarkan pisau yang diselitkan di bahagian pinggang dan cuba menikam anggota polis.

"Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan mengenai bahagian dada suspek sebelum dia mati di tempat kejadian," katanya pada sidang media di Tawau, hari ini.

Fadil berkata, pemeriksaan mendapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sebaliknya menggunakan kad pengenalan milik orang lain dan dikenal pasti ketua sindiket pengedaran dadah yang aktif di Tawau dan Kota Kinabalu.

"Turut dirampas satu plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 164.88 gram, sebilah pedang samurai, parang, dua kelongsong peluru dan sebuah telefon bimbit," katanya.

Susulan kejadian itu, katanya, polis melakukan lima serbuan berasingan sekitar daerah ini dan menahan 17 lagi suspek termasuk lapan wanita berusia antara 18 hingga 33 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dan kegiatan pengedaran dadah terbabit.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan sindiket pengedar dadah ini mempunyai kaitan dengan sindiket di Indonesia dan Filipina termasuk kes rampasan dadah jenis syabu seberat enam kilogram baru-baru ini.

"Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 1:09pm
d