utama

Kartunis Lengkuas meninggal dunia

Oleh Asrizal Aris

KARTUNIS Lengkuas yang popular dengan karya Mat Despatch majalah Ujang dan Yob Peon majalah Lanun meninggal dunia di Hospital Selayang, 10.30 pagi, hari ini.

Adik ipar, Sabri Sab, 30, berkata, Allahyarham dipercayai meninggal dunia akibat komplikasi darah tinggi dan buah pinggang selepas dua hari dimasukkan dalam wad pesakit hospital berkenaan.

"Dia kelihatan sihat sebelum dimasukkan ke hospital untuk menjalani dialisis dan tiada perubahan sikap yang ditunjukkan.

"Dia mengalami masalah buah pinggang kira-kira tiga tahun lalu namun dia memang seorang yang takut untuk ke hospital," katanya ketika ditemui di rumah Allahyarham di Taman Batu Muda, Gombak, hari ini.

Menurutnya, Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia 10 tahun dan kembar 15 tahun.

Jenazah Allahyarham Lengkuas atau nama sebenarnya Zainuddin Saleh, 53, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda selepas Asar, hari ini.

Allahyarham mempunyai pengalaman berkarya sebagai kartunis selama lebih 30 tahun.

Pengurus Operasi Majalah Bekazon, Azrul Izar Abd Wahab, berkata, pemergian Lengkuas disifatkan sebagai satu kehilangan yang sangat besar dalam industri kartunis.

"Arwah antara kartunis kegemaran bagi peminat komik sekitar tahun 1990-an dan seiring dengan kartunis terkenal seperti Gayour, Sukun, Bendi dan Nik.

"Semalam, sepatutnya arwah ke Kedah untuk menyempurnakan satu karnival keusahawanan di sana namun dia ditahan di hospital.

"Allah SWT lebih menyayanginya dan dia kembali ke Rahmatullah pada hari yang mulia pada hari Jumaat," katanya yang turut hadir.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 1:49pm
d