utama

Video muzik bakal menyusul

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Gigih dan tidak kenal erti putus asa. Itu gambaran paling tepat buat penyanyi bersuara lantang lunak, Salma Asis yang juga juara program 3 Juara TV3.

Sesudah menjuarai program Mentor musim kelima pada 2011, Salma kemudian menyertai program realiti Seiras Seirama sebagai klon Ziana Zain.

Salma juga turut mencuba nasib dalam uji bakat program Dangdut Academy Asia 2, namun tidak mampu mara.

Sepanjang tempoh enam tahun, Salma terbabit dalam empat program realiti bercorak nyanyian. Ini sekali gus membuktikan kecintaan Salma begitu melangit terhadap bidang nyanyian.

Namun begitu, masih ada segelintir pihak yang memandang sinis usaha dilakukan penyanyi kelahiran Tawau, Sabah ini.

Salma berkata, dia tidak pernah ambil peduli semua itu sebaliknya menjadikan cakap-cakap orang sekeliling sebagai pembakar semangat. Baik komen berbentuk positif atau negatif, semua diterima.

“Dulu saya tidak terikat dengan sebarang kontrak, jadi saya bebas lakukan apa saja. Saya fikir ketika itu selagi boleh mencuba, saya buat. Tujuannya agar peminat masih boleh tahu kewujudan saya dalam industri.

“Bagi saya setiap apa dilakukan pasti ada yang mengkritik. Tidak semua yang dilakukan boleh memuaskan hati semua pihak. Cara saya mudah iaitu jangan ambil peduli sangat.

“Prinsip saya, selagi terdaya dan ada peluang untuk ke depan tak salah kita mencuba. Lagipun, saya ingin menggunakan bakat yang ada untuk menonjolkan diri. Pada masa sama ini punca rezeki saya,” katanya.

Semangat juang yang ditunjukkan Salma ini bukan saja untuk kepentingan diri sendiri tetapi demi keluarga tercinta sehingga timbul dakwaan dia yang menyara suami dan keluarga.

“Ketika ini mungkin rezeki berpihak kepada saya. Disebabkan itu orang melihat saya ke depan berbanding suami. Dalam perkara ini tidak wujud istilah saya ‘menyara’ suami. Kalau nak tahu suami juga ligat mencari rezeki.

“Memandangkan sekarang kami juga menjalankan perniagaan brownies, suami sangat banyak membantu. Cuma kalau kebetulan saya ada kerja, dia yang menjaga anak. Apa yang kami lakukan ini lebih kepada tanggungjawab dan saling memahami. Kami selesa dan gembira, itu yang penting.

“Kalau masa depan dia pula diberikan rezeki dalam kerjaya seninya, giliran saya pula membantunya. Saya bersyukur suami jenis memahami dalam setiap perkara. Pendek kata susah senang kami bersama,” katanya.

Hadapi Persaingan Sihat

Dalam pada Salma cuba mendaki populariti, dia akur apabila perlu bersaing dengan penyanyi remaja hari ini.

Namun Salma yang kini popular dengan lagu Akhirnya, Cinta tetap optimis dengan bakat yang ada pada dirinya.

Malah Salma juga yakin keputusan menjadi artis naungan syarikat rakaman milik komposer Ajai, Wake The Baby mampu membawa namanya pergi lebih jauh berbanding sebelumnya.

“Saya menyifatkan kehadiran penyanyi baru sekarang satu anjakan baru dalam muzik tempatan. Mereka hadir tepat pada waktunya kerana boleh merancakkan lagi bidang ini. Tidak ada apa perlu dirisaukan kerana bagi saya ia satu persaingan sihat.

“Saya tetap tidak berputus asa malah menganggap ini semua rezeki. Sama seperti dahulu juga, saya tidak akan duduk diam sebaliknya terus berusaha. Tidak ada yang mustahil dalam dunia ini sekiranya kita bekerja keras,” katanya.

Salma juga akui sejak muncul dengan lagu itu, banyak pihak mulai buka mata dan menyedari kehadirannya dalam industri.

“Alhamdulillah lagu ini mendapat sambutan baik daripada peminat muzik tempatan. Berbanding lagu saya sebelumnya, lagu ini memberi impak tersendiri malah mudah diterima.

“Saya juga gembira apabila lagu ini mendapat permintaan untuk dimainkan di stesen radio selain masih bertahan dalam carta program Muzik Muzik 32. Mungkin berkat ia muncul Ramadan lalu untuk drama bersiri Ku Kirim Cinta,” ujarnya.

Lebih membuatkan Salma terharu apabila lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Slen ini menjadi pilihan peminat dan penyanyi lain untuk dinyanyikan dalam versi mereka sendiri.

“Kalau sebelum ini saya suka menyanyikan lagu orang lain tapi sekarang lagu saya pula menjadi pilihan mereka. Bukan saja di aplikasi Smule tapi mereka turut memuat naik di laman YouTube.

“Ini satu penghargaan untuk saya. Pada masa sama, ia memberi petanda bagus dalam kelangsungan kerjaya nyanyian saya selepas ini,” jelasnya.

Perkembangan lain, Salma baru saja menjalani peng­gambaran video lagu pada minggu lalu di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.

“Penggambaran dibuat dalam masa sehari saja dari jam 6 pagi sehingga 7 malam. Konsep video muzik ini ringkas saja dan jalan cerita pun mudah. Pendek kata tak susah untuk saya. Cuma saya kena banyak bermain dengan ekspresi wajah dan melayan perasaan.

“Insya-Allah ia akan dilancarkan tidak lama lagi. Saya pun tak sabar melihat hasilnya,” kata Salma meng­akhiri bicara.

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 9:20am
d