utama

Mengharap rahmat Yang Maha Agung

Oleh Nasharuddin Muhammad di Makkah

PERASAAN yang sukar diluah dengan kata-kata dan tidak dapat digambarkan.

Itu pengalaman dua saudara baru yang dikurniakan rezeki ke Tanah Suci tahun ini.

Pesara Guru Besar Sekolah Kebangsaan Batu Tellingai, Daerah Kecil Subis, Sarawak, Mustafa Kamal Abdullah, 64, berkata, dia terharu terpilih sebagai dhuyufurrahman selepas hampir 10 tahun menunggu giliran.

Menurutnya, dia menganggap rezeki untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu sebagai peluang keemasan yang mungkin hadir sekali seumur hidupnya.

"Saya begitu bersyukur dan akan menggunakan peluang berada di Tanah Suci ini untuk melakukan ibadat dengan sebaik mungkin," katanya yang datang bersama isteri, Asmah Jaman, 56.

Katanya, dia sudah memeluk Islam sejak lewat 1970-an dan menegaskan berbuat demikian bukan atas dasar mahu berkahwin.

Sebaliknya, menurutnya, dia memeluk Islam kerana tertarik dengan ajarannya.

Malah, katanya, dia berterima kasih dengan seorang rakan, Ramli Hussin yang banyak membimbingnya mendalami lagi ajaran Islam.

Mengenai harapannya, Mustafa Kamal berkata, sudah tentu dia mengharapkan ganjaran daripada Allah dengan dikurniakan haji mabrur.

"Saya pasti akan bersungguh-sungguh melakukan ibadat bagi mencapai matlamat itu," kata anak kedua daripada 10 adik-beradik etnik Melanau itu.

Menurutnya, selain dia, adik bongsunya turut mengikut jejaknya memeluk Islam.

Seorang lagi saudara baru, Suzila Abdullah, 54, suri rumah dari Serian, Sarawak berkata, dia juga begitu bersyukur dapat ke Tanah Suci menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Menurutnya, ini kali kedua dia datang ke Tanah Suci selepas kali pertama pada 2004 untuk menunaikan umrah.

Katanya, dia sudah lama berminat memeluk Islam sejak selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya memeluk Islam pada 1985 dan kini sudah hampir 32 tahun. Ketika menunaikan umrah, saya berdoa semoga dapat kembali ke Tanah Suci dan Alhamdulillah bersyukur pada tahun ini terpilih pula buat haji," katanya.

Ditanya pengalamannya sepanjang berada di Tanah Suci, Suzila yang datang diiringi seorang rakan berkata, bukan senang bagi saudara baru sepertinya datang sebagai tetamu Allah.

"Banyak cubaan dan cabaran perlu saya lalui. Hanya mualaf saja yang tahu perasaan itu.

"Satu lagi, cabaran tunaikan haji lebih besar berbanding umrah, jadi saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.

"Memang sukar untuk digambarkan apabila dapat datang ke Tanah Suci ini. Alhamdulillah," katanya ketika ditemui di maktab penginapannya.

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 2:18pm
d