utama

Makin mantap

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Berdasarkan ranking, peluang untuk kuartet 4x100 meter negara meraih emas tampak sukar namun jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim tetap optimis mempersiapkan pelari terbaik.

Malah beliau yakin kejutan boleh dilakukan barisan pelari negara pada temasya Sukan SEA yang akan membuka tirai secara rasminya Sabtu ini.

Kerjasama bersama Institut Sukan Negara (ISN) dalam mengkaji kelemahan pelari menambah keyakinan Poad untuk kuartet negara menghadiahkan emas buat negara.

Tegasnya sesi latihan kini memasuki fasa terakhir dengan barisan pelari menampakkan peningkatan mendadak terutama ketika pertukaran baton.

Bagaimanapun Poad menegaskan masih belum ada keputusan siapa di antara Haikal Hanafi dan Nixson Kennedy yang akan menggalas tugas sebagai pelari pertama ketika Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan, masing-masing akan berlari di posisi kedua, ketiga dan terakhir.

“Berdasarkan latihan dalam acara berganti-ganti ini, saya seperti dapat merasakan pelari negara mampu melakukan sesuatu.

“Jadi saya mahu betul-betul memastikan yang terbaik untuk pelari pertama itu. Ada dua lagi latihan iaitu pada sebelum senarai empat pelarian terakhir diputuskan,” katanya.

Poad yang ditemui pada sesi latihan kuartet negara di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) berkata, beliau menaruh harapan tinggi dan yakin pelari negara mampu mencatatkan masa 38 saat dan rekod baru kebangsaan di Kejohanan Terbuka Vietnam bulan lalu.

Kuartet negara memberi sinar harapan untuk menghadiahkan emas buat negara selepas meleburkan rekod kebangsaan.

Namun catatan 39.62s itu belum cukup menjanjikan emas buat negara dalam acara berganti-ganti itu yang dikuasai Thailand.

Kali terakhir kuartet negara meraih emas acara 4x100m 48 tahun lalu pada ketika temasya dwi tahunan dikenali sebagai Sukan SEAP 1969 dan pingat terakhir yang dimenangi adalah gangsa pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia.

Berdasarkan ranking terkini Asia Tenggara, kuartet negara berkedudukan tempat ketiga ketinggalan di belakang kuartet Indonesia yang mencatatkan catatan masa terbaik 39.10s dan Thailand kedua 39.38s.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 7:18am
d