utama

Macam mana boleh tersepit ni dik...

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KEPALA kanak-kanak perempuan berusia setahun sembilan bulan tersepit pada besi kaki papan seterika dalam kejadian di Taman Putri, Kulai Johor, semalam.

Dalam kejadian 10.20 malam itu, ibunya cuba untuk mengeluarkan kepala anaknya dari besi berkenaan tetapi gagal sebelum memanggil pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Khairi Zainuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.48 malam sebelum tiba di rumah mangsa kira-kira lapan minit kemudian.

Beliau berkata, besi papan seterika itu semakin naik ke atas kerana mangsa meronta ketika ibunya cuba untuk menyelamatkannya.

“Besi papan seterika itu kemudian semakin menyempit menyebabkan kepala kanak-kanak berkenaan tidak dapat dilepaskan.

"Pada mulanya, kami cuba menenangkan mangsa dan memegangnya sebelum perlahan-lahan menurunkan semula papan seterika itu.

"Alhamdulillah, kepala mangsa dapat dilepaskan dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya yang kemudian menamatkan operasi pada 11.03 malam.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu yang enggan dikenali berkata, dia pada mulanya cuba mengeluarkan kepala anaknya, namun apabila kanak-kanak itu semakin kuat menangis sehingga termuntah, dia mula panik.

Menurutnya, dia semakin panik apabila telinga anaknya merah akibat cubaan kanak-kanak itu mengeluarkan sendiri kepalanya.

"Dia meronta-ronta sambil menangis, akhirnya saya terpaksa hubungi bomba kerana yakin mereka lebih profesional menangani insiden seperti ini," katanya.

Dia berkata, dia cuba mengeluarkan kepala anaknya itu selama hampir 15 minit sebelum menelefon pihak bomba.

Menurutnya, anak bongsunya memang pernah bermain dan berdiri di papan seterika itu, tetapi ini kali pertama kepalanya tersangkut di besi kaki papan berkenaan.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 5:40pm
d