utama

Cabaran getir di Kashmir

Tidak banyak publisiti mengenai pelakon Chacha Maembong. Malah, kelibat adik kepada pelakon popular Emma Maembong ini juga jarang dilihat dalam mana-mana acara hiburan sejak kebelakangan ini.

Hakikatnya, kata Chacha, 21, dia bukan menyepi sebaliknya lebih suka bersikap ‘low profile’ kerana ingin mengelak daripada sebarang kontroversi.

“Sebenarnya saya masih aktif berlakon seperti biasa. Antaranya dua telefilem iaitu Menantu Bilal dan Neraka Di Mata Syurga Di Hati yang bersiaran pada Ramadan lalu di TV3.

“Saya tidak kisah soal populariti atau nama merudum kerana apa yang penting dapat melakukan kerja yang diamanahkan dengan baik.

“Fokus saya adalah untuk mengukuhkan nama dalam bidang lakonan,” katanya.

Terbaru, bakat lakonan Chacha atau nama sebenarnya Siti Aishah Ismail berjaya membuka mata syarikat produksi White Merpati Entertainment untuk beraksi dalam filem I’m Not A Terrorist yang bakal ditayangkan bermula 5 Oktober depan.

Filem arahan anak tempatan Arjin Uppal ini menampilkan gabungan pelakon tempatan dan Bollywood seperti Gulshan Grover, Farida Jalal, Rahul Dev dan Afiq Muiz.

Chacha berkata, dia memperoleh pengalaman sangat berharga sepanjang penggambaran filem itu tahun lalu.

“Saya sangat teruja dan pada masa sama gementar kerana bekerjasama dengan bintang legenda Bollywood seperti Gulshan serta Farida yang lakonan mereka ditonton sejak kecil.

“Selain pengarah, Gulshan dan Farida juga banyak membantu saya menjiwai watak dengan baik seperti dikehendaki skrip.

“Filem ini juga akan ditayangkan di India dan saya berharap ia permulaan yang baik untuk saya menempa nama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Bercerita pengalamannya berlakon filem itu, Chacha berkata, dia berdepan cabaran getir ketika penggambaran filem itu di Kashmir, India tahun lalu.

“Saya terkena jangkitan di bahagian sebelah mata hingga terpaksa dirawat. Cuaca sejuk dan bersalji turut menguji kemampuan saya. Selain itu lokasi penggambaran sangat berbahaya kerana ia tempat pengganas.

“Berkat doa semua terutama keluarga segala cabaran dapat dilalui dan penggambaran dapat diselesaikan seperti direncanakan,” katanya.

Chacha berkata, dia setuju berlakon dalam filem itu kerana ingin mencabar diri dan membuktikan kemampuan dalam lakonan.

“Saya puas dapat berlakon dalam filem ini walaupun berdepan pelbagai cabaran yang menguji mental dan fizikal,” katanya.

Pilih pemuda Cina sebagai kekasih

Bukan rahsia lagi hubungan Chacha dengan kekasihnya iaitu jejaka keturunan Cina yang dikenali sebagai Leslie dan turut heboh diperkatakan ramai ketika ini.

Menurut Chacha, hubungannya dengan jejaka berusia 27 tahun itu yang bekerja sebagai deejay serius hampir setahun lalu.

“Kami diperkenalkan kakak angkat saya tahun lalu. Alhamdulillah, hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak terutama ayah walaupun berlainan agama,” katanya.

Ditanya soal kahwin pula, kata Chacha, mereka ada perancangan tetapi bukan dalam tempoh terdekat ini.

“Insya-Allah, kalau ada jodoh kami memang ada perancangan untuk berkahwin. Leslie juga tiada halangan untuk memeluk Islam.

“Saya masih muda dan perjalanan karier seni pun masih jauh lagi. Sebagai adik, saya juga tidak mahu langkah bendul dan kalau boleh mahu Emma kahwin dulu,” katanya. -Ramlah Zainal

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 3:56am
d