utama

Enggan buang masa lagi

Oleh Najiy Jefri

Tania Hudson, nama yang masih asing dalam kalangan peminat namun dia tetap tekun mengayuh perjalanan sebagai anak seni dengan penuh kesabaran.

Kembara seninya bergerak perlahan dan mendatar meskipun mempunyai raut wajah Pan-Asian serta berbakat besar.

Mengimbau kembali hidupnya, pada 2008 dia pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) iaitu sejenis pengumpulan saluran darah secara tidak normal di dalam otak. Disebabkan penyakit itu, dia terpaksa melupakan impian mengukuhkan kedudukannya dalam dunia lakonan buat seketika.

Selepas sembuh, pada 2011 Tania kembali aktif bekerja. Namun, entah mana silapnya sehingga kini kemunculannya belum berjaya mencuri perhatian ramai.

Tania yang sebelum ini pernah membintangi filem Balistik bersama Datuk Rosyam Nor, Rita Rudaini dan Adi Putra pada 2014 bagaimanapun tidak berputus asa sebaliknya terus mengatur langkah dengan muncul di kaca televisyen serta layar lebar.

“Saya berlakon bukan untuk mengejar populariti tetapi kerana minat mendalam terhadap bidang ini. Soal nama dikenali atau tidak, ia berbalik kepada rezeki masing-masing. Apa yang boleh saya lakukan adalah tidak henti berusaha dan mempamerkan persembahan mantap.

“Lagipun, saya nekad menjadikan kerjaya lakonan sebagai pekerjaan sepenuh masa selepas melalui pelbagai dugaan dalam hidup. Saya tidak mahu buang masa lagi. Berilah saya peluang membuktikan kemampuan diri,” katanya.

Abang Long Fadil 2

Adik pelakon Natasha Hudson ini berharap kebangkitannya menerusi filem arahan Syafiq Yusof berjudul Abang Long Fadil 2 yang bakal menjengah pawagam seluruh negara pada 24 Ogos ini membawa tuah kepada dirinya.

“Menerusi filem ini saya memegang watak Yana yang bertugas sebagai wartawan jenayah. Banyak cabaran saya lalui sepanjang penggambaran apatah lagi sebelum ini tidak pernah mengacara. Banyak latihan dan kajian perlu dilakukan untuk menghidupkan karakter ini.

“Saya juga berlakon di samping pelakon berpengalaman. Mula-mula gemuruh juga, tetapi tidak lama selepas itu saya dapat membiasakan diri,” katanya.

Menurut Tania, filem yang turut dibintangi Zizan Razak dan Syamsul Yusof itu banyak mengajarnya untuk memperbaiki mutu lakonan memandangkan sebelum ini pembabitannya dalam industri seni tidak konsisten.

“Saya semakin jatuh cinta dengan bidang ini selepas mempelajari banyak perkara daripada pengarah dan barisan pelakon. Ketika duduk bersama mereka baru saya sedar masih banyak ilmu lakonan yang perlu ditimba. Bagi saya, inilah proses

yang perlu dilalui untuk kembali mendaki secara perlahan-lahan.

“Lagipun, saya perlu bekerja keras untuk menempatkan nama kerana melihat pasaran sekarang yang lebih meminati wanita Melayu tulen berbanding darah campuran seperti saya.

“Dengan lambakan pelakon muda sekarang, saingan juga semakin sengit. Pendek kata, saya perlu melipatgandakan usaha dan tenaga jika mahu terus berada dalam bidang ini,” katanya.

Kontroversi

Beralih mengenai kontroversi, awal tahun ini nama Tania menjadi sebutan apabila dikatakan menjadi punca keretakan hubungan cinta di antara pasangan pelakon Fattah Amin dan Neelofa.

Tania bagaimanapun menyifatkan gosip itu sebagai sesuatu yang lucu. Malah, dia bersikap profesional apabila tidak akan menolak tawaran sekiranya diminta bergandingan dengan Fatah selepas ini.

“Saya tak pernah bercinta dengan pelakon. Bagi saya, gosip itu tidak masuk akal dan sangat kelakar kerana kami hanya berkawan.

“Andai ditakdirkan saya berlakon dengan Fattah, saya tiada sebarang masalah. Lagipun, kami bukan ada apa-apa hubungan sebelum ini.

“Jujur ketika gosip itu hangat diperkatakan, saya dikecam teruk netizen namun ia hanya berlaku sekejap saja. Saya gembira menjalani kehidupan sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai cinta, Tania mengakui sukar untuk membicarakan dan menterjemahkan perasan itu.

Ini kerana dia perlu mempertimbangkan banyak perkara sebelum menjalin hubungan serius dengan lelaki yang cuba mendekatinya.

“Saya jenis yang susah mahu memulakan hubungan cinta. Ada lelaki yang datang menghulurkan cinta, tetapi hati ini susah nak mempercayai orang yang baru dikenali,” katanya.

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 4:05am
d