utama

Detik istimewa

Oleh AFP

Cincinnati: Rafael Nadal teruja mengetahui dia kembali menjadi pemain nombor satu dunia buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun semalam selepas Roger Federer menarik diri daripada kejohanan Masters Cincinnati dalam Jelajah ATP minggu ini.

Pemain ranking ketiga Federer berkata, dia cedera belakang di Montreal, yang mana dia tewas final Ahad lalu kepada pemain Jerman, Alexander Zverev dalam kejohanan permukaan gelanggang keras yang menjadi pemanas badan sebelum Terbuka Amerika Syarikat.

Federer, juara Terbuka Australia dan Wimbledon tahun ini, satu-satunya pemain yang boleh menafikan pemain ranking kedua yang juga juara Terbuka Perancis, Nadal daripada merebut tangga nombor satu dunia.

“Bagi saya berada di posisi itu sesuatu yang amat istimewa,” ujar Nadal. “Saya mempunyai minat dan kecintaan terhadap sukan ini. Itulah sebabnya saya mampu kembali berada di kedudukan itu sekali lagi.”

Ia kali pertama Nadal menjadi pemain nombor satu dunia sejak Julai 2014.

Pemain Sepanyol berusia 31 tahun itu, yang menang gelaran Grand Slam ke-15 di Roland Garros tahun ini, akan mengambil alih tempat pemain nombor satu dari Britain, Andy Murray, yang menarik diri daripada kejohanan di Montreal dan Cincinnati kerana kecederaan pinggul.

Nadal, yang menghuni tangga nombor satu dunia selama 141 minggu secara keseluruhan, bergelut dengan kecederaan lutut sejak muncul pemain nombor satu pada Ogos 2008 selepas layak ke separuh akhir di Cincinnati. Dia mengakui pernah meragui sama ada mampu kembali ke puncak ranking selepas tempoh yang terlalu lama.

“Jika anda tidak ragu-ragu, ia kerana anda terlalu bongkak tapi saya tidak terlalu sombong,” kata Nadal. “Ada generasi baru yang muncul dan sedang meningkat. Sukar sebenarnya untuk kembali menjadi pemain nombor satu.”

Nadal menyedari biarpun kedudukan akan terus memihak kepadanya tidak kira keputusannya minggu ini kejohanan Grand Slam terakhir tahun ini yang bermula di New York pada 28 Ogos mempunyai peranan penting dalam perebutan dengan Federer di ranking teratas dunia.

“Saya dan Roger menempuhi musim yang menakjubkan,” kata Nadal. “Salah seorang daripada kami akan mempunyai peluang menduduki ranking itu untuk beberapa minggu lahi. Saya akan cuba melakukan yang terbaik dan kita lihat nanti.”

Federer, juara tujuh kali di gelanggang keras Cincinnati meminta maaf tetapi dia perlu berehat memandangkan Terbuka AS semakin hampir.

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 4:07am
d