utama

Isa direman 5 hari [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

BEKAS pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad direman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu salah guna kuasa dalam pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di London antara 2014 dan 2015.

Perintah reman bermula hari ini hingga 20 Ogos itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Terdahulu Isa, 68, tiba di Mahkamah Majistret di Putrajaya pada 9.08 pagi berbaju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.

Isa diwakili tujuh peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Dev Kumaraendran, Datuk N Sivananthan, Datuk Khairul Anwar Rahmat, Ridha Ahdar, Lavina Kumarendran dan Ashraf Bapoo.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.

Isa ditahan 4.24 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan hampir dua jam berhubung urusniaga hotel berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan syarikat Malaysia yang mengendalikan urusan jual beli hotel hotel di Kensington, London kepada FIC dikatakan memperoleh keuntungan RM78 juta dalam masa 24 jam.

Dalam pada itu, perkarangan luar Mahkamah Majistret Putrajaya juga sesak dengan orang ramai termasuk pengikut dan ahli keluarga Isa yang hadir bagi memberi sokongan.

Lebih 50 orang dilihat memenuhi perkarangan luar mahkamah, selain puluhan wartawan serta jurugambar pelbagai agensi berita.

Berita berkaitan:

SPRM tahan Isa

Disiarkan pada: August 16, 2017 @ 12:22pm
d