utama

Penyamun sembunyi dalam kompleks

Oleh Baharom Bakar

TIGA lelaki dipercayai masih bersembunyi di dalam Centre Point Kemaman di Chukai selepas cuba melakukan samun bersenjata di kedai emas dalam kompleks itu, hari ini.

Suspek bertopeng dan bersenjata parang itu dikatakan menebuk lubang dinding di bangunan sebelah kompleks terbabit sebelum masuk ke kedai emas, kira-kira 1 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, lelaki itu mengikat dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditugaskan menjaga kompleks berkenaan.

Menurutnya, seorang daripada anggota RELA terbabit berjaya melepaskan ikatan dan kemudiannya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira 5 pagi.

"Berdasarkan semakan dilakukan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam kompleks terbabit dan di kedai emas itu, tiada tanda menunjukkan tiga lelaki itu keluar dari premis berkenaan.

"Kami sudah menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) yang dibawa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk mengesan kedudukan tiga lelaki berkenaan," katanya ketika Pprogram NegaraKu Sehati Sejiwa dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2017 Peringkat Negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Aidi berkata, kini bangunan kompleks perniagaan setinggi empat tingkat yang menempatkan lebih 200 gerai jualan serta pasar raya itu masih dikepung polis dan aktiviti perniagaan terpaksa ditangguhkan sementara bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Disiarkan pada: August 17, 2017 @ 12:28pm
d