utama

'Hati mahu melakukannya'

Oleh HM Digital

Mengenali diri dan perwatakan Datuk M Nasir, 60, memberi gambaran bukan mudah menyuntingnya bagi menjayakan sebarang projek kerana dia amat mementingkan kepuasan berkarya dan kualiti projek yang ditawarkan kepadanya.

Sehubungan itu, bukan sesuatu yang menghairankan apabila dia mengambil masa dua bulan untuk berfikir sebelum bersetuju dengan tawaran daripada Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro Saniboey Mohd Ismail bagi membintangi drama bersiri lapan episod berjudul DO(s)A.

Saniboey merisik Nasir pada awal Ramadan lalu namun dia tidak terus memberikan jawapannya. Saniboey terus sabar menunggu kerana watak Latif dalam drama berkenaan khusus dibentuk untuk penyanyi lagu Mentera Semerah Padi itu.

Nasir ketika ditemui berkata, dalam tempoh dua bulan itu dia memikirkan semua aspek merangkumi jadual kerja dan kelapangan masa sebelum bersetuju.

“Selepas membaca skrip drama itu, saya tertarik dengan watak Latif yang kompleks dan misteri. Ia bukan watak kosong dan tiada visi.

“Kemudian hati saya kuat mengatakan karya itu bagus dan membuatkan mahu terbabit sama dalam pembikinannya. Tiada sebab utama saya bersetuju, cuma hati mahu melakukannya,” katanya.

Penggambaran dilakukan di Malaysia dan Jakarta sejak Julai lalu. Penggambaran di Jakarta masih berlangsung dan dijangka selesai 24 hari lagi.

Menurut Nasir, babak lakonannya tidak banyak dan dia hanya muncul sekitar suku bahagian dalam drama itu sekali gus tidak mendatangkan cabaran besar buatnya.

“Saya hanya terbabit dalam lima hari penggambaran di Kuala Lumpur. Saya juga perlu menjalani latihan silat yang memang mencabar fizikal dan mental,” katanya.

Bercerita mengenai wataknya, Nasir berkata, Latif adalah bekas ketua gengster di Indonesia yang bertaubat dan kembali ke Malaysia untuk melarikan diri dari masa silamnya.

Dia memiliki empat anak bernama Farid, Fuad, Fahad dan Fara serta melatih mereka dengan ilmu persilatan.

Latif berharap ilmu itu digunakan oleh anaknya ke arah kebaikan.

Selain Nasir, drama itu turut dibintangi pelakon dari Malaysia, Indonesia dan Singapura antaranya Remy Ishak, Daniella Sya, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama, Tegar Satrya, Shenty Feliziana serta Hisyam Hamid.

Menurut Nasir, dia tidak berdepan sebarang masalah dan ia adalah satu sesi penggambaran yang lancar.

“Sama ada pelakon senior atau junior, semuanya memberikan kerjasama yang sangat baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nasir mengakui sering mengikuti perkembangan drama popular di kaca TV bagi mengisi waktu senggang bersama keluarga.

Menurutnya, dia sedia mempertimbangkan tawaran berlakon dalam drama bersiri andai kena dengan jalan cerita dan skripnya.

“Kita tak akan tahu apa yang kita suka jika tidak cuba. Jadi, saya tiada masalah dengan apa saja drama bersiri, malah menontonnya jika ada kelapangan.

“Kalau ada peluang untuk terbabit dalam drama bersiri seperti slot Akasia, saya tidak akan menolak jika bersesuaian.

“Saya pernah dapat tawaran tetapi belum ada naskhah yang dapat memikat hati saya. Saya memilih skrip yang berbaloi untuk dilakonkan dan sekurang-kurangnya mampu memberi pengajaran kepada penonton,” katanya. - Nor Akmar Samudin

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 4:35am
d