utama

Lari ke Siam takutkan Jepun

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: Pergolakan pada 1941 disebabkan pendudukan Jepun di Tanah Melayu menyebabkan ibu bapa Esah Ahmad, 64, terpaksa melarikan diri dari Kota Bharu, Kelantan ke selatan Thailand untuk mencari tempat perlindungan.

Apabila tentera Jepun ditewaskan dalam Perang Dunia Kedua, keluarganya masih menetap di Narathiwat, Thailand sehingga Esah dilahirkan pada 1953 dan mereka masih meneruskan kehidupan di negara Gajah Putih itu.

Segalanya tampak biasa dan mereka menjalani kehidupan seperti kelaziman masyarakat Melayu yang lain sehinggalah Esah dinikahkan dengan suaminya, Sidek Ibrahim, 66, berasal dari Kota Bharu pada 1969 yang mencetuskan konflik kewarganegaraannya.

Ketika ditemui baru-baru ini, Esah berkata, sejak pulang ke Malaysia pada 1971, dia seperti orang asing apabila berdepan kesukaran memohon status warganegara disebabkan lahir di Thailand.

“Hampir 50 tahun saya tinggal di Malaysia tanpa kad pengenalan sedangkan asal-usul saya orang sini (Malaysia). Ibu bapa saya orang Malaysia, cuma mereka melarikan diri ke selatan Thailand kerana bimbang dengan kesan Perang Jepun,” katanya.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dia akhirnya menerima status penduduk tetap pada pertengahan 80-an berdasarkan syarat dipenuhinya.

Namun, perkara itu turut membataskan segala tindakan harian apabila menyukarkannya membuat segala urusan rasmi seperti menunaikan umrah kerana dia perlu pulang ke Thailand dan berurusan di negara berkenaan seperti mendapatkan pasport.

“Mengapa saya perlu pulang ke Thailand kerana suami saya ada di sini dan dia orang Malaysia? Saya harap status saya ini mendapat perhatian JPN.

“Saya tidak ingin pulang ke Thailand kerana saya orang sini (Malaysia),” katanya.

Wanita warga emas itu berkata, perkara sama turut menimpa anak sulungnya, Kodir Sidek, 46, apabila dia yang dilahirkan di selatan Thailand sebelum keluarga mereka berpindah ke Malaysia turut tidak mempunyai kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri.

“Kesannya, anak saya tidak dapat bersekolah dan sukar mendapat pekerjaan. Dia juga menghadapi kesukaran untuk melakukan urusan rasmi selain bimbang ditahan anggota penguat kuasa,” katanya.

Esah yang kini menetap bersama suaminya di perkampungan Bukit Rangin, di sini, berkata, sembilan lagi anaknya yang dilahirkan di Malaysia tidak berdepan sebarang masalah dan mempunyai sijil kelahiran serta kad pengenalan sah seperti individu lain.

Katanya, dia bersama suami pernah beberapa kali ke pejabat JPN negeri untuk membincangkan nasibnya dan anak sulungnya itu yang seperti merempat di negara sendiri namun jawapan diterima menghampakan.

“Saya dimaklumkan, saya dan anak perlu pulang ke Thailand semula dan memohon kewarganegaraan di sana, dulu serta membuat pasport untuk pulang ke Malaysia.

“Bagaimana saya hendak pulang ke sana (Thailand)? Saya tidak mempunyai saudara di sana lagi pun mengapa saya harus jadi rakyat Thailand?” soalnya.

Esah berharap perkara itu dapat diselesaikan dan dia serta anaknya tidak mahu lagi dituduh sebagai warga asing disebabkan status mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 6:14am
d