utama

Heidi tepati ramalan [UPDATE]

Oleh Saiful Affendy Sapran

ATLET renang negara Heidi Gan menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara renang perairan terbuka 10km wanita di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari ini.

Heidi yang muncul juara Asia Mei lalu nyata unggul apabila mendahului peserta lain dari awal hingga akhir saingan.

Dia mencatat masa 2 jam 11 minit 02 saat mengatasi Benjaporn Sriphanomthorn (Thailand) yang meraih perak 2’16:37s dan Chantal Liew Li-Shian (Singapura) untuk gangsa 2’21:30s.

“Selepas Sukan Olimpik Rio, sasaran utama saya sememangnya mahu memenangi pingat emas di depan penyokong sendiri.

“Sebenarnya bukan saja mahu menang tetapi mahu mendomasi saingan dan saya berjaya melakukannya,” kata Heidi pada sidang media.

Heidi berkata, dia bekerja keras untuk memastikan pingat emas terus berada dalam genggamannya pada temasya dwitahunan itu selepas mendominasi acara 5km dan 10km pada 2011 di Jakarta-Palembang.

“Saya berenang 10 kali seminggu mencecah hingga jarak 80km.

“Ia satu jumlah jarak yang jauh. Saya berdepan kecederaan hampir separuh musim tapi selepas itu saya kembali menjalani latihan.

“Kemungkinan ini penyertaan terakhir saya. Tapi saya belum putuskan apa-apa lagi.

“Saya mahu bercuti dulu dan membuat keputusan selepas itu,” katanya yang turut beraksi di Sukan Olimpik 2012 di London.

Sementara itu seorang lagi peserta negara Angela Chieng menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan 2’24:54s.

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 12:09pm
d