utama

Rasa sekali nak lagi

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Penggunaan beras pulut susu adalah yang terbaik dalam penghasilan lemang periuk kera kerana teksturnya lebih lembut dan aromanya lebih wangi berbanding beras pulut biasa.

Penghasilan lemang periuk kera juga tidak begitu rumit kerana hanya memerlukan beras pulut, santan pekat dan garam selain gula bagi yang ingin mendapatkan sedikit rasa manis dan ia hanya dikukus berbanding lemang buluh yang dibakar.

Tidak dinafikan keunikan lemang ini terletak pada penggunaan tumbuhan periuk kera itu sendiri dan ia satu ketika dulu hanya boleh dinikmati di tempat tertentu saja ketika Aidilfitri.

Bagaimanapun, lemang periuk kera semakin popular dan kini boleh didapati di luar musim perayaan, malah keenakan dan kelazatannya menyebabkan permintaan semakin meningkat.

Tidak terkecuali seorang pengusaha dari FELDA Panching Selatan, dekat sini, Latipah Abdullah, 43, yang tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

“Sesiapa yang belum pernah rasa lemang periuk kera, sekali makan pasti hendak lagi dan akan datang cari lagi lemang ini, sehinggakan ada yang mula bertanya untuk tempahan Aidiladha akan datang.

“Alhamdulillah, lemang periuk kera pikat selera mereka, ramai pula yang menempahnya selepas diperkenalkan di laman sosial Facebook dan Instagram,” katanya.

Menurut Latipah, dia menerima tempahan hampir 300 kilogram (kg) lemang periuk kera sebagai juadah berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri lalu.

Katanya, dia tidak menyangka resipi diperoleh menerusi carian di Internet menghasilkan lemang periuk kera mempunyai tekstur lembut, lemak dan tidak melekat pada kelongsong.

“Secara kebetulan saya mula berniaga seminggu sebelum Ramadan lalu dan tidak menyangka mendapat sambutan mengejutkan dalam kalangan jiran tetangga, rakan sepejabat dan ahli keluarga,” katanya.

Keterujaan Latipah untuk mula berniaga lemang periuk kera menyebabkan suaminya, Ramli Hanafiah, 50, mencari pembekal kelongsong untuk memastikan hajatnya tertunai.

“Secara kebetulan suami bertemu rakannya yang juga pencari tumbuhan berkenaan di sekitar Pekan dan Kuantan,” katanya yang juga kakitangan Pertubuhan Peneroka FELDA berkenaan.

Mengenai proses menyediakan hidangan itu, Latipah berkata, periuk kera dibersihkan terlebih dulu bagi membuang kotoran sebelum disimpan di tempat sejuk seperti bilik air atau kawasan gelap.

“Beras pulut direndam antara satu hingga dua jam untuk melembutkannya sebelum dimasukkan dalam kelongsong yang kemudian dicurahkan santan yang sudah dibancuh dengan sedikit garam dan dikukus antara 15 hingga 20 minit saja.

“Selepas masak, lemang dibiarkan sejuk sebelum dibungkus mengikut pesanan pelanggan dan saya jual mengikut pakej bersama rendang ayam atau daging,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 7:32am
d