utama

Tetap mahu 'gigit' harimau

Oleh Aziman Rosdi

Shah Alam: Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) Myanmar Gerd Zeise memberi amaran anak buahnya tetap mahu memburu kemenangan ke atas Malaysia pada aksi terakhir Kumpulan A meskipun sudah layak ke separuh akhir selepas membelasah Brunei 6-0 di Stadium UiTM Shah Alam semalam.

Selepas tiga perlawanan, skuad naib juara dua tahun lalu itu kekal di tangga teratas dengan sembilan mata selepas turut menewaskan Singapura 2-0 dan Laos (3-1) manakala Malaysia yang baru beraksi dua perlawanan di tangga kedua.

Menurut pengendali kelahiran Jerman itu, beliau tetap akan menurunkan kesebelasan pemain terbaik bagi berdepan pasukan tuan rumah di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

“Saya tidak fikir begitu (merehatkan pemain menentang Malaysia). Pemain saya sudah mendapat rentak permainan jadi saya tidak mahu rentak itu terganggu.

“Sudah pasti kami mahu mendapatkan kemenangan kerana bakal menentukan pasukan yang berada di tangga pertama dan kedua kumpulan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan semalam.

Myanmar yang dikenali dengan nama gelaran The White Angels bagaikan tidak sabar membuat perhitungan dengan Malaysia apabila menjadikan Brunei sebagai mangsa.

Mereka bermula baik dengan mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan penyerang Aung Thu pada minit ke-24 dan Si Thu Aung (m-40).

Anak buah Zeise yang kebanyakan beraksi di Piala Dunia B-20 pada 2015 terus mengganas dengan gol sumbangan Aung Kaung Mann pada minit ke-73 dan M-84 serta dua gol pada masa kecederaan oleh Mg Mg Lwin dan Than Paing.

“Ia kemenangan mudah, saya sudah menyaksikan permainan Brunei ketika menentang Malaysia. Kami bermula agak perlahan pada separuh masa pertama dan bermain lebih baik pada babak kedua. Kemenangan ini penting untuk kami layak dan mengurangkan tekanan sebelum berdepan Malaysia,” kata Zeise.

Bagi Brunei pula, ini kekalahan kedua selepas tewas 1-2 di tangan Malaysia Isnin lalu.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 8:48am
d