utama

Letak diri dalam kelas tersendiri

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Keputusan penyanyi Hael Husaini keluar dari kumpulan duo Azhael pada Februari lalu, dianggap satu percaturan besar dalam kerjaya seninya.

Apatah lagi Hael atau Hal Husaini Razmi, 29, berjaya mencipta nama menerusi kumpulan itu ketika menyertai program realiti Akademi Fantasia 2013.

Bagaimanapun, pengorbanan Hael itu berbaloi apabila single Jampi hasil ciptaan sendiri menjadi fenomena dalam bidang muzik tempatan kini. Kejayaan itu sekali gus mengubat kekecewaannya selama lapan tahun dalam industri.

“Alhamdulillah, pada mulanya saya tak menjangka Jampi akan menjadi sebegini besar impaknya. Ini kerana saya cuma berfikir untuk meletakkan Jampi sebagai pengenalan muzik dalam karier solo.

“Apabila lagu ini diterima baik, ia satu pencapaian tertinggi dalam kerjaya. Saya berterima kasih kepada semua yang banyak membantu untuk menjadikan Jampi satu fenomena. Bukan sesuatu yang mudah sebenarnya nak mencapai tahap sebegini.

“Kalau kita perasan, sekarang trend muzik lebih kepada lagu balada ‘tangkap leleh’. Namun lagu Jampi ini berjaya menangkap halwa telinga pencinta muzik tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Hael juga akur apabila lagu itu meletakkan dirinya dalam kelas tersendiri. Sedangkan jika kebanyakan penyanyi lain, mereka mempertaruhkan nama sendiri sebelum lagu itu diterima peminat.

“Setiap apa yang terjadi saya sentiasa percaya kepada rezeki Allah. Malah itu hakikat yang perlu diterima semua orang.

“Bagi saya Jampi adalah hadiah buat peminat selepas hampir 10 tahun dalam bidang seni. Akhirnya usaha keras saya menampakan hasil,” katanya.

Hael yang juga pencipta lagu Nisan Cinta nyanyian Siti Nordiana dan Jaclyn Victor mengakui tidak pernah menjangka karier solonya mendapat sokongan banyak pihak.

Katanya, dia tidak pernah terfikir untuk mengejar populariti apabila bergerak solo. Bagi Hael, kemunculan bersama pasangan duo sebelum ini, Mohd Azhar Osman satu permulaan yang bagus.

“Ketika membuat keputusan bergerak solo, saya tidak menjangka sambutan dan sokongan diberi akan sebegini besar. Tujuan saya hanya untuk berkarya dan menghargai semua pihak yang menyokong karier saya selama ini.

“Macam saya katakan tadi, rezeki itu datang dengan pelbagai cara dan tidak kira waktu. Jadi saya menganggap mungkin sekarang giliran saya pula untuk ke depan selepas banyak kali mencuba,” katanya.

Namun begitu, dalam pada Hael meniti kejayaan timbul pula cakap-cakap mengatakan dia menggunakan platform duo Azhael itu untuk membina nama sebelum merancang bergerak solo.

Malah sebelum menyertai AF 2013, Hael pernah mencuba nasib sebagai penyanyi solo selepas terbabit dalam program Mentor 3 yang menggunakan nama Sani pada 2009, namun gagal menempatkan diri dalam industri.

Menepis dakwaan itu, Hael sebaliknya mengakui Azhael banyak membantu menaikkan kerjayanya sepanjang empat tahun ini.

“Saya tidak pernah menidakkan kewujudan dan sumbangan Azhael dalam kerjaya dan peribadi. Diakui Azhael banyak membantu saya dari segi pengalaman yang saya ada pada masa itu.

“Ketika saya bersama Azhael, tidak banyak orang tahu asal usul kerjaya saya sebelumnya. Sebaliknya mereka beranggapan saya artis baru. Mungkin disebabkan itu banyak persepsi timbul,” katanya.

Fokus dua bidang

Selain menyanyi, Hael juga antara penyanyi muda yang dilihat menyerlah dalam bidang penciptaan lagu. Buktinya, lagu Jampi nyanyiannya sendiri menjadi siulan anak muda sekarang.

Lagu lain ciptaannya seperti Dia (Dayang Nurfaizah), Hati-Hati nyanyian Amira Othman, Girl (Dafi), Cemburu (Nabila Razali), Semua Untuk Cinta (Indah Ruhaila), Rempuh (Tomok & Black) dan Kerana Cinta (Nazim Othman).

Katanya, buat masa sekarang fokusnya ialah nyanyian dan penciptaan lagu serta gembira ia berjalan lancar.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar dengan kehadiran pasukan yang banyak membantu dari segi nyanyian dan penciptaan lagu.

“Saya akui komposer dan penyanyi adalah dua bidang berbeza. Sebenarnya, mencipta lagu minat terbaru saya. Malah saya sendiri tak sedar ada kelebihan itu.

“Namun, apabila saya banyak belajar daripada komposer lain seperti Ezra Kong dan Omar K, saya jadi seronok melakukannya,” katanya.

Untuk tampil dengan single kedua, Hael menafikan berasa tertekan selepas melihat sambutan lagu pertamamya.

Kata Hael, tertekan itu tidak ada, tetapi dia lebih bersemangat untuk menerbitkan karya yang lebih membangun pada masa akan datang.

“Saya sentiasa menjadikan ia sebagai cabaran,” katanya.

Mengenai kehidupan peribadi, Hael yang mengambil anak angkat perempuan diberi nama Nur Helena mengakui kehidupannya berubah 360 darjah.

Katanya, sejak kehadiran Helena tiga bulan lalu dia banyak mematangkan dirinya dari setiap sudut.

“Ia juga banyak membantu saya menjadi lebih tenang dan bertanggungjawab. Perkara ini satu pengalaman baru dalam diri saya.

“Helena masih lagi memerlukan perhatian penuh. Saya bernasib baik kerana keluarga banyak membantu menjaga Helena jika saya keluar bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Hael me­nyeru wanita agar tidak takut untuk berkawan dengannya meski dia kini bergelar bapa.

“Saya yakin kalau jodoh itu tidak ke mana. Saya sentiasa berdoa agar dipertemukan de­ngan jodoh yang baik dan boleh menerima kami seadanya,” katanya.

Disiarkan pada: August 19, 2017 @ 9:00am
d