utama

'Ada tak suka dengar saya ketawa'

Oleh Michelle Gun

Menjadi penyampai radio ada manis dan pahitnya. Bagi penyanyi Haiza, gandingan bersama AG untuk mengendalikan segmen Pagi Hari Di Kool FM bukan perkara yang sukar kerana sudah mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan.

Namun, dalam usaha menghiburkan pendengar, Haiza memberitahu ada menerima komen negatif daripada pendengar.

“Ada pendengar meninggalkan komen di media sosial memberitahu dia tidak suka dengar saya ketawa,” katanya ketika ditemui di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Penyanyi Dag Dig Dug ini beranggapan pendengar terbabit mungkin kurang mengenali sikapnya.

“Nak buat macam mana, memang saya ketawa seperti itu. Agaknya pendengar ini kurang mengenali sikap saya macam mana, jadi boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu,” katanya.

Segmen Pagi Hari Di Kool FM berlangsung selama empat jam iaitu bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Bagi Haiza, mengendalikan segmen awal pagi lebih memudahkan kerana membolehkan dia meluangkan masa dengan keluarga pada sebelah petang.

“Saya tidak sempat jumpa anak pada waktu pagi kerana perlu bangun awal untuk kerja.

Selepas habis kerja, saya akan menjemput anak dari sekolah dan meluangkan masa di rumah,” katanya.

Menurutnya, waktu kerja sedemikian juga memudahkan dia membuat tugasan lain pada waktu petang.

“Saya sudah biasa bangun pada awal pagi dan dengan waktu kerja sekarang, macam-macam saya boleh buat bersama keluarga selepas itu,” katanya.

Beralih kepada tugasannya di konti, Haiza berkata, penyampai radio bukan saja perlu menghiburkan pendengar tetapi turut mencari informasi berguna.

“Untuk segmen pagi, saya dan AG perlu mengupas isu panas yang tular di media sosial.

Namun, isu ini perlu dibincangkan dengan produser supaya tidak menimbulkan sebarang kontroversi,” katanya.

Oleh kerana stesen radio Kool FM menyasarkan pendengar berusia 30 tahun ke atas, Haiza berkata, informasi diketengahkan perlu padat dan berguna.

“Pendengar daripada golongan ini mahukan informasi yang boleh memanfaatkan mereka, jadi kami perlu sentiasa mencari idea menarik untuk menghiburkan mereka,” katanya.

AG mudah serasi dengan Haiza

Bersandarkan pengalaman 17 tahun sebagai penyampai radio, AG berpendapat gandingan berdua lebih mudah kerana tidak perlu berebut bercakap.

“Saya pernah mengendalikan segmen seramai tiga dan juga empat penyampai. Ragam mereka banyak dan kami perlu pandai membahagikan dialog,” katanya.

Selepas setahun bergandingan dengan Haiza, AG berkata, penyanyi itu mudah untuk kerjasama selain seorang yang cepat belajar.

“Haiza seorang yang komited terhadap kerja dan dia juga tidak malu bertanya.

“Kami cepat serasi dan apabila ke udara, saya mahu jadikan ia sebagai ruang untuk kami berborak seperti biasa di luar konti,” katanya.

Menurut AG, penyampai radio ada kalanya membuat kesilapan kecil seperti tersasul dan menganggap itu perkara biasa.

“Biasalah kadang-kadang boleh tersasul bercakap, namun setakat ini kesilapan dilakukan belum menjadi masalah besar,” katanya.

Sementara itu, mengenai persiapan sempena Hari Kemerdekaan, AG memberitahu segmen khas itu masih dalam perbincangan dengan produksi.

“Buat masa ini belum ada sebarang kata putus. Mungkin akan ada lagu patriotik dalam versi akustik. Ada juga perancangan untuk peraduan gambar Merdeka,” katanya.

Katanya lagi, Kool FM turut terbabit dalam mempromosi sukan SEA dan turut membuat penghitungan hari penganjuran temasya itu.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 7:16am
d