utama

WS 'teringin' emas 200m pula

Oleh Aida Adilah Mat

“SAYA cukup berpuas hati dengan apa dicapai ini,” kata pemenang pingat emas pertama negara dalam acara renang, Welson Sim (WS) selepas mengungguli acara 400m gaya bebas lelaki pada Sukan SEA Kuala Lumpur, hari ini.

“Setiap perenang memberikan aksi terbaik apabila masing-masing cuba memberi tekanan kepada lawan yang menyaksikan beberapa perenang berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

“Biarpun saya berasa sedikit gementar di awal perlumbaan namun ia berjaya diatasi dan akhirnya berjaya melakukan catatan lebih pantas daripada yang biasa dilakukan,” katanya perenang dari Sarawak itu.

Welson melakarkan catatan 3 minit 50.26 saat untuk emas dan lebih manis berjaya memecahkan rekod temasya milik sendiri 3:53.97s yang dilakukan dua tahun lalu di Singapura.

Pingat perak menjadi milik perenang Indonesia, Aflah Fadlan Prawira, 3:54.15s dan gangsa diraih atlet Vietnam Nguyen Huu Kim Son, 3:54.20s.

Bagaimanapun catatan emas itu belum berjaya memperbaharui rekod terbaik peribadinya ketika beraksi di Siri Jelajah Mare Nostrum di Monaco ketika menewaskan juara Olimpik Mack Horton 3:49.48s, Jun lalu.

Welson akan turun sekali lagi hari ini (Selasa) untuk membantu kuartet 4x100m negara dan akan beraksi dalam acara 200m Rabu ini.

Tegasnya dia akan cuba melakukan yang terbaik acara berganti-ganti itu dan mengharapkan dapat menghadiahkan satu lagi emas kepada negara apabila turun dalam acara 200m.

Saingan hari pertama acara renang di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Malaysia meraih satu emas.

Sementara itu seorang lagi atlet negara dalam acara 400m Yeap Zheng Yang menamatkan aksi di kedudukan ketujuh dan Jian Han Tern dalam acara 50m kuak lentang juga berada dikedudukan ketujuh.

Bagi Wilson, dia mengakui wujudnya tekanan beraksi di tempat sendiri namun sokongan penyokong yang hadir memadamkan perasaan itu apabila menguasai perlumbaan bermula dari 50m pertama.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 9:59pm
d