utama

Nasi lemak silaturahim

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Maasumiah, dekat sini, melaksanakan program Nasi Lemak Percuma Setiap Jumaat untuk penduduk Kampung Sungai Tengar Utara, Sungai Air Tawar.

Pada program julung kali Jumaat lalu, puluhan nasi lemak bungkus itu habis dalam tempoh singkat apabila ia diletak di depan masjid jam 7.30 pagi.

AJK masjid berkenaan, Mohd Hafizuddin Md Sahar, 32, berkata, program itu memfokuskan masyarakat setempat terutama yang tidak sempat bersarapan atas tuntutan kerja, selain membantu individu kurang berkemampuan.

“Melalui program seumpama ini, ia mengukuhkan lagi silaturahim antara AJK masjid dengan penduduk setempat, sekali gus menggalakkan tuntutan solat berjemaah.

“Masjid ini dipilih sebagai lokasi mengagihkan nasi lemak kerana ia berada di laluan utama penduduk,” katanya.

Menurut Mohd Hafizuddin, pihaknya turut mengalu-alukan penduduk yang mahu menyumbang untuk program itu.

“Jumaat dipilih kerana ramai penduduk melalui laluan berkenaan, selain hari mulia bagi umat Islam,” katanya.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 6:55am
d