utama

Lompatan emas Hakimi begitu bermakna

Oleh Aida Adilah Mat

“Saya bertuah dapat melakukan rekod baru kebangsaan dan rekod kejohanan,” kata pemenang pingat emas lompat kijang, Muhd Hakimi Ismail pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), hari ini.

Ia kejayaan manis buat kem olahraga negara yang cemerlang pada hari kedua apabila atlet terbabit menghadiahkan emas kelima negara di temasya itu.

Paling manis Hakimi memperbaharui rekod kebangsaan dan juga rekod temasya miliknya melakukan lompatan 16.77 meter pada percubaan terakhirnya.

Rekod sebelum ini 16.76m dicipta Hakimi di Singapura dua tahun lalu.

Mengulas kejayaan itu, Hakimi berkata dia cukup gembira apabila sasaran meraih emas di Sukan SEA tercapai.

“Alhamdulillah di temasya ini saya dapat melakukan lompatan yang sempurna dan mungkin hari ini hari bertuah saya kerana dapat melakukan rekod baru dengan hanya kelebihan satu sentimeter,” katanya.

Pendekatan untuk tidak menghiraukan prestasi atlet lain dan hanya fokus kepada diri sendiri antara penyumbang kejayaan atlet itu melakukan lompatan konsisten.

Hakimi menewaskan atlet Filipina Mark Harry Diones yang mencatat 16.63m untuk perak manakala gangsa milik atlet Thailand Pratchaya Tepparak, 16.37m.

Bayangan emas seakan sudah pasti milik negara apabila atlet kelahiran Perak melakukan lompatan pertama 16.45m, diikuti 16.67m, ketiga dibatalkan, 16.74m, kelima batal dan terakhir 16.77m.

Sementara itu seorang lagi wakil negara Nik Fariezal Erman Nik Ab Hadi menamatkan saingan dikedudukan keenam.

Hakimi melengkapkan kejayaan skuad olahraga negara selepas Elena Goh jalan kaki dan Jackie Wong tukul besi menghadiahkan emas.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 11:24pm
d