utama

Kenang jasa 9 perajurit

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Setiap kali menyambut bulan kemerdekaan, seorang pesara tentera sanggup menghabiskan wang pencennya bagi menghiasi halaman rumahnya dengan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

Pada usia yang menjangkau 70 tahun, Dahari Hashim dari Kampung Baru, Pokok Sena, di sini, tidak pernah patah semangat memasang Jalur Gemilang biarpun kudratnya semakin terhad.

Dahari mengakui akan mencipta pelbagai bentuk replika di depan rumahnya bagi menunjukkan sayangnya kepada negara dan memperingati perjuangan rakan-rakannya.

“Apa yang dilakukan saya hanya sedikit pengorbanan wang ringgit serta tenaga berbanding pengorbanan perajurit terdahulu mempertahankan tanah air... saya kehilangan sembilan rakan dalam serangan hendap komunis di Gerik, Perak pada 1969, mereka terbunuh dalam serangan itu sedangkan saya masih dipinjamkan nyawa oleh Allah sehingga hari ini.

“Landskap dan bendera yang dihias di halaman rumah ini juga sebagai tanda ingatan saya kepada rakan yang terkorban kerana sehari sebelum hari kejadian itu saya dipanggil pulang ke rumah kerana perlu menjaga anak-anak apabila arwah isteri perlu menyertai pertandingan tilawah al-Quran mewakili Badan Kebajikan Isteri Angkatan Tentera (BAKAT),” kata bapa kepada empat anak ini.

Rentetan kejadian itu, semangat Dahari sentiasa berkobar sehingga selepas tamat perkhidmatan pada 1987, dia terus membina sebuah rumah yang dinamakan Teratak Jaswira.

Katanya, setiap tahun menjelang Hari Kemerdekaan dia akan memperuntukkan RM500 bagi membeli bendera dan membina replika termasuk dua meriam dan kereta kebal di halaman rumahnya.

“Menariknya setiap kali ada replika baharu, ada pelajar sekolah serta penjawat awam akan datang melihat replika yang saya bina.

“Saya juga pernah beberapa kali dicalonkan dalam pertandingan sempena Bulan Kemerdekaan anjuran Jabatan Penerangan, sehinggalah menjadi Johan kategori individu (kediaman) bagi Pertandingan Keceriaan Bulan Kemerdekaan 2015 peringkat negeri Kedah,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 5:59am
d