utama

Sehari hingga 6 kali sawan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: “Saya tidak boleh berjauhan dengan Tasha walaupun sesaat kerana risau keadaan dirinya yang kerap diserang sawan,” kata Salihah Harapan Abdullah, 37, ibu kepada Natasha Mohd Zailani, 10, yang menghidap penyakit cerebral palsy (CP).

Anak ketiganya itu disahkan menghidap penyakit itu sejak berusia tujuh bulan.

Pada awal kelahiran, keadaan anak perempuannya itu normal, namun selepas melakukan pemeriksaan imbasan CT kali kedua di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, doktor mengesahkan Natasha menghidap penyakit CP selain mengalami masalah kabur kedua-dua belah mata.

“Saya perlu sentiasa berada di sisinya sepanjang masa kerana dia sering diserang sawan antara lima hingga enam kali sehari.

“Keadaan Natasha yang kerap diserang sawan itu membuatkannya mengalami kekejangan otot yang serius dan ketika dia berusia lima tahun, doktor memasukkan besi antara pinggul dan paha kiri sebagai sokongan.

“Walaupun pada awalnya sukar untuk saya percaya anak menghidap CP, saya tidak pernah menyalahkan takdir kerana dikurniakan anak syurga sebaliknya menganggap ini ujian buat diri apabila bergelar ibu tunggal,” katanya.

Menurutnya, sejak berpisah dengan bekas suami sejak empat tahun lalu, dia kini menjadi ketua keluarga bukan saja menjaga keperluan Natasha malah menyara tiga anaknya berusia antara enam hingga 13 tahun yang masih bersekolah.

“Anak sulung (Rayhani, 19) bekerja sebagai pembantu kedai dengan upah RM20 sehari sejak seminggu lalu sementara menunggu keputusan permohonan menyambung pengajian peringkat diploma di Institut Kemahiran Belia Negara November depan.

“Pada masa sama, saya membantu kakak di kedai makan dan upahnya boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan Tasha dan anak yang lain,” katanya yang memperoleh bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, dia akan berusaha untuk membantu meringankan beban keluarga Salihah.

“Saya akan cuba dapatkan sumbangan kerusi roda khas untuk Natasha,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 6:22am
d