utama

3 projek filem dalam 6 bulan

Oleh HM Digital

Sejak membintangi siri HBO Halfworlds dan My Stupid Boss, nama aktor hebat Bront Palarae semakin mendapat tempat di persada seni Indonesia.

Terbaru, Bront turut beraksi dalam dua lagi projek di negara itu iaitu filem seram Pengabdi Setan dan Ayat-Ayat Cinta 2.

Pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin ini mengakui bersyukur kerana bakatnya berjaya membuka mata penerbit filem negara seberang.

“Semuanya bermula apabila pengarah filem terkenal Joko Anwar menonton filem lakonan saya, Terbaik Dari Langit.

“Dia menawarkan saya beraksi dalam siri HBO Halfworlds dan terbaru Pengabdi Setan yang bakal menemui penonton bermula 28 September nanti,” katanya.

Bront berkata, dia juga bertuah kerana pelakon terkenal indonesia, Reza Rahadian banyak memperkenalkannya kepada penggiat seni Indonesia.

“Saya juga dapat tiga projek filem berturut-turut dalam tempoh enam bulan.

“Selepas My Stupid Boss, Headshot, saya juga terbabit dalam filem Pengabdi Setan dan Ayat-Ayat Cinta 2.

“Sukar untuk saya menolak semua tawaran yang datang kerana karakternya ada kelainan,” katanya.

Mengenai wataknya dalam filem Ayat-Ayat Cinta 2 terbitan Manoj Production, Bront tampil sebagai bekas askar Israel.

“Menariknya, dalam filem ini saya bergandingan dengan bintang hebat Indonesia iaitu Fedi Nuril, Chelsea Islan, Tatjana Saphira dan Dewi Sandra.

“Selain saya, Fazura juga terbabit dalam filem ini.

“Penggambaran masih dijalankan dan dijangka di tayangkan di pawagam Indonesia pada Disember nanti,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan dia dikatakan menolak menjayakan filem tempatan, Bront menafikan perkara itu.

“Saya baru saja terbabit dalam filem Safari Mall pada Jun lalu dan bakal menjayakan sebuah filem lagi hujung tahun ini.

“Selain itu saya teringin bekerjasama dengan pengarah filem Jagat iaitu Sanjay. Begitu juga dengan Erma Fatima.

“Sudah banyak projek dibincangkan dengan Erma cuma belum ada rezeki lagi,” katanya.

Pertaruh filem Kau Takdirku

Sebagai pelakon, Bront lega apabila filem lakonannya, Kau Takdirku akhirnya bakal menjengah pawagam tanah air bermula 7 September ini.

Dalam filem terbitan Grand Brilliance itu, Bront bergandingan dengan Remy Ishak, Ezzaty Abdullah, Aisya Hasna dan Megan Tan.

“Walaupun penggambaran filem ini selesai tiga tahun lalu saya percaya ia masih relevan untuk tayangan sekarang.

“Saya harap peminat tempatan tidak akan melepaskan peluang menonton lakonan saya dalam filem ini,” katanya.

Bercerita mengenai cabaran dalam filem arahan Jason Chong itu, Bront terpaksa belajar berenang untuk menjiwai watak Harris yang bekerja sebagai jurulatih selam skuba.

“Kalau nak tahu saya trauma dengan air. Selain belajar berenang, saya juga perlu naikkan sedikit berat badan, gelapkan kulit serta biarkan rambut panjang,” katanya.

Antara filem tempatan lakonannya sebelum ini adalah Bunohan, Terbaik Dari Langit, Ombak Rindu dan Lagenda Budak Setan 3: Kasyah. - Ramlah Zainal

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 6:44am
d