utama

Fuad benam Thani untuk emas

Oleh Fardy Bungga

PETINJU negara Muhamad Fuad Mohd Redzuan berjaya merangkul pingat emas selepas menewaskan petinju Thailand Thani Narinram pada final kategori light fly 49 kilogram Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, hari ini.

Untuk rekod, pingat emas kategori ini pertama kali dimenangi petinju negara dalam sejarah Sukan SEA.

Pada aksinya di peringkat akhir itu, Muhamad Fuad menunjukkan aksi lebih agresif dengan mempamerkan corak menyerang terhadap lawannya untuk mengutip mata seawal pusingan pertama.

Lawan dari Thailand itu ternyata gagal membaca gerakan Muhamad Fuad yang berbeza dengan aksi sebelumnya yang lebih kepada pendekatan bertahan dan melakukan serangan balas.

Muhamad Fuad yang sudah menyertai lima edisi Sukan SEA sejak 2009 berkata, ini adalah kejayaan paling manis untuk dirinya dan keluarga selepas usahanya itu berhasil di tanah air sendiri.

Katanya, sejak menyertai Sukan SEA 2009, dia kerap mendapat undian untuk bertemu peserta pilihan terutama dari Filipina dan Thailand namun kali ini dia berjaya mengatasi mereka berkat sokongan kuat penyokong negara.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak terutama ketua jurulatih yang memberikan kepercayaan dan sokongan untuk meningkatkan lagi prestasi sehingga mencapai kejayaan ini.

“Ketua jurulatih negara Azmi Md Yunos menjadi individu penting sepanjang karier saya dan dia mendidik saya sejak usia 18 tahun.

“Ini kali pertama Malaysia memenangi pingat emas dalam kategori ini. Saya hadiahkan pingat ini untuk jurulatih, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 4:46pm
d