utama

Murid pukul murid berakhir ajal

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

 

ekhwan@hmetro.com.my

MURID tahun satu Sekolah Kebangsaan Nanga Ibun, Sungai Pilla, Batang Rejang, di Kapit  meninggal dunia di Hospital Sibu, hari ini dipercayai dipukul murid lain beberapa hari lalu.

Mangsa Jackson Nuing Awe, 7, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.30 petang selepas dua hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Amer Awal berkata, pada 22 Ogos lalu bapa mangsa yang berusia 35 tahun menerima panggilan dari sekolah yang memaklumkan anaknya ditemui tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan cedera pada badan dan kepala mangsa.

"Disebabkan curiga dengan keadaan anaknya, bapa mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya bagi mengesan individu yang terbabit.

"Berdasarkan laporan yang diterima, polis menahan seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang belajar di sekolah sama dengan mangsa," katanya.

Amer berkata, suspek ditahan empat jam sebelum mangsa disahkan meninggal dunia hasil maklumat yang diperoleh polis.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati mangsa mengejek nama bapanya.

"Suspek kemudian menumbuk dan menendang mangsa beberapa kali sehingga mangsa lemahs seterusnya tidak sedarkan diri.

"Polis sudah mengambil keterangan daripada suspek dan dia dibebaskan dengan jaminan polis kerana masih bawah umur," katanya.

Amer berkata, bagi melengkapkan siasatan, polis juga akan memanggil guru besar dan guru untuk diambil keterangan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan satu pasukan khas diketuai Ketua Polis Daerah Kapit Deputi Superintendan Freddy Bian untuk memantau siasatan.

 

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 11:40pm
d