utama

Misi Marquez

Oleh AFP

Silverstone, England: Pendahulu kejuaraan dunia Marc Marquez tampil untuk membalas dendam pada kejohanan motosikal Grand Prix Britain Ahad ini selepas tewas di selekoh terakhir kepada Andrea Dovizioso di Austria dua minggu lalu.

Marquez menduduki tangga kedua di belakang Dovizioso dari Ducati di litar Spielberg dengan rakan sepasukan Honda dan rakan senegara dari Sepanyol, Dani Pedrosa di tangga ketiga.

Namun juara dunia tiga kali itu tidak menjangkakan semua akan memihaknya di Silverstone. Dia mengakui berdepan hujung minggu “mencabar” di litar sukar yang menuntut kemahiran dan kesabaran namun menjanjikan kepantasan sebenar.

Marquez menang dua kali sebelum ini di Silverstone dengan kali terakhir pada 2014. Dia turut meraih tiga petak utama, membuktikan dia boleh menguasai semua keadaan termasuk hujan yang menghantui kejuaraan dunia di Britain sebelum ini.

Dia menyatakan sasarannya adalah “sentiasa berada di depan dan kekal konsisten di semua litar dan semua keadaan.”

“Sudah tentu kami akan cuba perkara sama di Silverstone, litar sebegitu, sekalipun kami sedar ia satu pusingan yang mencabar kerana pencabar kami selalunya amat kuat di sana.”

Dovizioso, kedua di belakang Marquez dalam kejuaraan dunia, berakhir di tangga ketiga pada 2015 dan kedua pada 2011 di Silverstone, kedua-dua keputusan diraih dalam perlumbaan hujan.

Pencabar utama itu tidak menafikan cabaran daripada penunggang Yamaha, Maverick Vinales, yang meraih kemenangan pertama MotoGP di sini tahun lalu dan menghuni tangga ketiga ranking.

Valentino Rossi dari Yamaha, yang meraih kemenangan sulung 500c pada GP Britain di Donington pada 2000, mahu mencatat satu lagi sejarah bersaing dalam perlumbaan ke-300 dalam kelas utama Ahad ini.

“Litar ini terlalu panjang dan ada banyak perubahan arah di kelajuan tinggi,” kata juara dunia tujuh kali dari Itali itu yang menduduki tangga ketiga di sini tahun lalu.

“Ia trek yang bagus untuk saya dan gaya tunggangan saya. Saya mahukan hujung minggu yang bagus dan berjuang untuk podium.”

Pedrosa sebaliknya berdepan mimpi ngeri di Silverstone tahun lalu dan berkata pasukannya akan bersiap sedia mengatasi keadaan trek untuk tampil lebih baik kali ini.

“Kini kami kembali ke trek yang berbonggol dan cuacanya sentiasa tidak stabil,” katanya.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 8:04am
d