utama

'Kami nak Indonesia, Malaysia tak bagus'

Oleh Firdaus Hashim

“KAMI mahu jumpa Indonesia di final kerana mereka lebih baik berbanding Malaysia,” ujar penyerang Thailand, Sittichok Kannoo pada sidang media praperlawanan separuh akhir bola sepak antara Thailand dan Myanmar di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang esok.

Nadanya seakan angkuh, namun itulah pandangan Sittichok yang mengakui tidak berminat untuk menentang pasukan negara pada perlawanan akhir sekiranya skuad Gajah Perang itu berjaya melepasi halangan Myanmar di separuh akhir.

Jelas bekas pemain remaja Buriram United itu, skuad kendalian Bima Sakti baginya jauh lebih ampuh berbanding anak didik Datuk Ong Kim Swee yang hanya bersandarkan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri untuk mencipta kemenangan.

“Barisan pertahanan Malaysia mudah bolos dan penyerang mereka juga tidak begitu efektif terutamanya apabila berdepan pasukan kuat seperti Indonesia.

“Sebelum ini kami pernah menewaskan Malaysia (3-0) pada Kelayakan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) B-23 di Bangkok, bulan lalu.

“Malah di peringkat kumpulan Sukan SEA juga dapat diperhatikan Malaysia mudah dibolosi satu gol dalam empat perlawanan mereka.

“Situasi itu jelas berbeza dengan Indonesia yang kami anggap pasukan terbaik Asia Tenggara ketika ini. Kami sudah dua kali jumpa mereka (Indonesia) di Kelayakan AFC dan peringkat kumpulan Sukan SEA, dua-duanya berakhir seri.

“Jadi saya pilih Indonesia untuk bertemu kami di final, itupun kalau kami dapat tewaskan Myanmar nanti,” katanya yang kini beraksi bersama kelab Thai Honda Ladkrabang di liga utama negara itu.

Thailand muncul juara Kumpulan B selepas mudah menewaskan Vietnam 3-0 pada aksi terakhir kumpulan untuk mengumpul 13 mata diikuti Indonesia di tempat kedua 11 mata.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 4:06pm
d