utama

Dua lelaki buang janin

Oleh Nasrawati Syarifuddin

JANIN perempuan ditemui di dalam tong sampah berdekatan bengkel kenderaan di Jalan Apas, Batu 3, Tawau, hari ini.

Dalam kejadian 10.20 pagi itu, orang awam menemui janin berusia 22 minggu berkenaan sebelum melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Superitendan Fadil Marsus berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kita menemui janin itu dalam bungkusan baju jeans berwarna biru gelap.

"Janin itu dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat sebelum disahkan janin itu adalah janin bayi perempuan," katanya.

Beliau berkata, janin itu seberat kira-kira 200 gram.

"Hasil laporan bedah siasat, bayi berkenaan tidak mampu untuk hidup kerana paru-parunya belum berfungsi sepenuhnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, pihaknya kini giat memburu suspek yang membuang janin berkenaan.

"Rakaman kamera litar tertutup di kedai berhampiran mendapati dua lelaki meletakkan bungkusan mengadungi janin itu ke dalam tong sampah berkenaan pada 3.30 pagi.

"Bagaimanapun, gambaran fizikal suspek sukar diperolehi kerana rakaman CCTV itu tidak jelas," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana buang bayi.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 5:36pm
d