utama

Lakonan Wak Doyok dipuji

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kemunculan Ikon Fesyen Wak Doyok dalam filem Abang Long Fadil 2 (ALF 2) yang mulai ditayangkan di seluruh negara pada 24 Ogos lalu membuka mata banyak pihak.

Malah penampilan sulung Wak Doyok (Wak) atau Mohd Azwan Md Nor dalam filem arahan Syafiq Yusof ini menepis tanggapan orang ramai mengatakan dia tidak boleh berlakon.

Sebaliknya menerusi filem itu, Wak yang melakonkan watak Wak Doyok anak A Galak, diberi pujian melambung peminat ekoran lakonannya yang semula jadi dan tidak kaku.

Menariknya, semua babak aksi membabitkan Wak dilakonkan sendiri bagi mendapatkan kepuasan.

“Saya memang berharap filem ini boleh mengubah persepsi orang yang mengatakan saya tidak boleh berlakon. Banyak tidak tahu watak saya dalam filem ini berbeza daripada diri sebenar. Jadi saya nak membuktikan boleh berlakon.

“Saya tidak mahu dilabel sebagai pelakon kayu meski pertama kali berlakon. Bukan apa, sebelum menjalani penggambaran filem ini, saya terlebih dahulu mempersiapkan diri dari segi asas lakonan.

“Biarpun tidak mengikuti sebarang kelas, selama tiga bulan saya menonton pelbagai watak aksi di laman YouTube. Dari situ saya belajar teknik lakonan. Diakui berlakon bukannya mudah apatah lagi melakonkan babak aksi sendiri,” katanya.

Paling penting bagi Wak yang popular dengan tagline ‘Aku Yang Pakai Kau Yang Panas’ ini adalah ingin menonjolkan bakat dalam bidang lakonan.

Jika sebelum ini peminat mengetahui kemampuannya sebagai pengacara, sekarang Wak mampu bersaing dalam cabang seni lain pula.

“Berlakon dalam filem ini satu peluang keemasan untuk saya melangkah lebih jauh. Apa yang penting juga, menerusi filem ini saya banyak belajar selok-belok lakonan. Sedikit sebanyak saya dapat mengasah bakat lakonan.

“Tidak dinafikan ketika mula berlakon, timbul rasa putus asa. Mungkin disebabkan ia pengalaman pertama saya, jadi memang berasa penat dan tidak cukup tidur. Lagipun, saya bukan jenis yang suka menunggu lama.

“Alhamdulillah, selepas melihat hasilnya dan mendapat maklum balas positif daripada penonton, saya berasa ia berbaloi. Usaha dan pengorbanan saya tidak sia-sia. Malah minat dalam lakonan semakin bertambah. Tak sabar nak berlakon lagi,” katanya.

Namun, buat masa sekarang Wak akui lebih selesa untuk berlakon filem sahaja berbanding drama kerana dia mempunyai komitmen lain dalam dunia perniagaan.

“Kalau nak tahu sebelum berlakon dalam filem ini, saya mendapat banyak tawaran berlakon drama. Namun saya tolak dengan cara baik kerana memikirkan soal komitmen. Saya tabik kepada pelakon drama yang boleh menghabiskan masa seharian di lokasi untuk tempoh yang panjang.

“Saya berfikir kalau berlakon drama susah nak memberi fokus kepada perniagaan. Apatah lagi saya perlu berulang-alik ke Jakarta atas urusan lain. Berbanding berlakon filem, masa diberikan tidak panjang. Jadi saya boleh susun jadual,” katanya.

Wak yang kini muncul dalam program realiti The Cut Indonesia di saluran Trans TV, tidak kisah berlakon filem sekiranya ditawarkan watak tambahan.

Pada waktu sama, Wak menafikan strategi untuk berlakon filem saja semata-mata untuk menembusi industri perfileman Indonesia.

“Sebelum mendapat tawaran berlakon filem ini, saya terlebih dahulu mendapat tawaran berlakon drama bersiri panjang di sana. Namun saya tolak kerana episod terlalu lama.

“Cuma selepas filem ini ditayangkan di sini, pihak sana berharap ALF 2 ini turut ditayangkan di sana,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 8:10am
d