utama

'Tak berdaya saya melangkah'

Oleh Helmy Abd Rahman dan Rosli Ilham

“SAYA berhajat sangat nak bawa isteri ke Makkah hujung tahun ini untuk tunaikan umrah. Tapi, apakan daya, Allah lebih menyayanginya.”

Itu kata Samsudin Awang Kechik, 53, suami Zaimah Abdul Rahman, 54, yang maut dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 42 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Merchang, Marang, 7.30 pagi ini.

Samsudin yang bertugas di Penjara Marang, berkata kejadian berlaku ketika Zaimah dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Awang Jabar, Jambu Bongkok, untuk mengadakan kelas tambahan.

"Arwah isteri saya guru di sekolah itu. Hampir setiap hujung minggu dia ke sekolah mengadakan kelas tambahan kepada pelajarnya memandangkan peperiksaan semakin hampir.

“Tapi, hari ini, dia meminta untuk keluar lebih awal iaitu kira-kira 7 pagi. Saya sempat berpesan supaya lebih berhati-hati kerana hujan lebat.

"Tak berdaya saya melangkah apabila dapat tahu dia meninggal dunia akibat kemalangan. Tambah sedih hajat tak dapat ditunaikan,” katanya di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Kemalangan itu menyebabkan tiga maut, termasuk Zaimah, apabila Perodua Viva dipandunya bertembung dengan Proton Saga BLM.

Turut terkorban, dua beradik iaitu pemandu Proton Saga BLM, Kamariah Draman, 44, dan kakaknya yang berlainan bapa, Rohimah Baru, 54.

Kamariah bertugas pembantu tadbir SMK Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Dungun, manakala Rohimah adalah penyelia asrama di sekolah sama.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu,

Mengikut siasatan awal, kereta dipandu Kamariah dari arah Kuala Terengganu dipercayai terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan, pada 7.30 pagi.

Akibatnya bertembung dengan kenderaan dipandu Zaimah, dalam kejadian 7.30 pagi.

Zaimah yang sudah 28 tahun berkhidmat sebagai guru meninggalkan enam cahaya mata berusia antara 11 hingga 24 tahun.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 2:54pm
d