utama

Rayzam 'cukur botak' lunas janji isteri

Oleh Aida Adilah Mat

“JIKA menang pingat emas, saya berjanji akan ‘cukur’ membotakkan kepala serta merta sebaik melepasi garis penamat”.

Itulah dilakukan jaguh 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian ‘melunaskan janji’ kepada isterinya sebelum ini menyaksikannya meraih emas yang mencetuskan emosi mendalam terhadap dirinya.

“Saya dah botakkan kepala dan penonton semua dapat melihatnya. Apapun emas ini juga adalah hadiah untuk isteri (Eriyana Idris) dan anak (Rayyana).

“Selepas 10 tahun menanti akhirnya 2017 menyaksikan saya dapat merangkul kembali emas,” kata atlet 29 tahun berasal dari Sabah itu.

Kejayaan itu juga kemenangan pertamanya ke atas pencabar utama Jamras Rittidet dari Thailand yang meraih pingat emas sejak 2007.

Keyakinan dilaungkan Rayzam begitu tinggi untuk menyumbangkan emas kepada negara sejak pencapaiannya memecahkan rekod kebangsaan 13.67s berusia 23 tahun milik bekas jaguh acara itu, Nurherman Majid di Jerman Mei lalu.

Rayzam mempamer larian meyakinkan pada saingan perlumbaan biarpun diberi tentangan sengit oleh Jamras.

Rentak konsisten sejak palang pertama menyaksikan Rayzam menghadiah emas kepada negara dengan catatan 13.83 saat dengan Jamras merakam 14.10s, Pingat gangsa diraih pelari Filipina Clinton Kingsley dengan masa 14.15s.

“Saya memang cukup yakin dapat menang emas kali ini kerana catatan masa Jamras tidak begitu baik. Tahun ini Jamras hanya melakukan masa 14.06s.

“Sejak dari sesi pemanas badan lagi saya tahu saya boleh menang cuma apa yang saya bimbang adalah teknik dan akhir saya berjaya merealisasikan impian emas itu,” katanya.

Semangatnya turut membara apabila jurulatihnya Jan May yang diterbangkan khas dari Jerman turut hadir di venue pertandingan.

Menegaskan emas di Sukan SEA kali ini bukan terakhir bagi dirinya, Rayzam berkata dia akan meneruskan lagi mengibarkan cabaran negara pada temasya Sukan Asia dan Komanwel selepas ini.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 7:44pm
d