utama

Tandukan Thana singkir Indonesia

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor dan Aziman Rosdi

PEMNYERANG skuad bawah 22 tahun (B-22), N Thanabalan muncul wira negara apabila jaringan tunggalnya pada lewat permainan membawa Malaysia ke final acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas menewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Lawan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada final, Selasa ini adalah Thailand yang mengenepikan Myanmar juga dengan 1-0 pada satu lagi separuh akhir.

Perlawanan bermula sedikit perlahan dengan kedua-dua pasukan tampak bermain berhati-hati dan percubaan terbaik Malaysia hadir pada m-29 menerusi sepakan penjuru Safawi Rasid yang melencong ke dalam gol namun berjaya ditepis penjaga gol, Satria Tama Hardiyanto.

Seminit selepas itu, Satria sekali lagi menjadi penyelamat pintu gol Indonesia apabila menyelamatkan percubaan jarak dekat N Thanabalan.

Indonesia juga mendapat peluang pada m-33 menerusi sepakan percuma Septian David Maulana yang berjaya ditangkap kemas Haziq Nadzli.

Perlawanan lebih rancak sebaik bersambung babak kedua dan Malaysia bernasib baik apabila rembatan deras kapten Indonesia Evan Dimas Darmono pada m-64 tidak menepati sasaran.

Pada m-65, Malaysia pula mensia-siakan peluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan apabila Jafri Firdaus Chew gagal menanduk tepat bola sepakan penjuru Safawi.

Jaringan yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia akhirnya muncul pada m-87 apabila N Thanabalan menanduk masuk bola sepakan sudut Syazwan Andik Mohd Ishak sekali gus membawa skaud negara ke final.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 10:59pm
d