utama

Tempat kita, jangan takut jumpa Thailand

Oleh Aziman Rosdi

JURULATIH skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu meraikan kejayaan ke final kerana misi sebenar mereka merampas semula pingat emas daripada Thailand.

Beliau berkata, kejayaan menundukkan Indonesia 1-0 pada separuh akhir di Stadium Shah Alam, malam tadi, menyuntik keyakinan pemain untuk berdepan Thailand yang menewaskan mereka di Bangkok ketika kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23, bulan lalu.

"Saya ada tiga hari lagi sebelum boleh benar-benar gembira (final).

“Ye, bagus kita layak ke final tapi tak boleh terlalu meraikannya, sebaliknya semua pemain kena fokus menghadapi Thailand.

"Kita bermain di tempat sendiri, tiada sebab untuk kita takut dengan Thailand. Memang kita kalah 0-3 dengan mereka di Bangkok tapi final permainan berbeza dan kita sudah bersedia," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Kim Swee menurunkan barisan terbaik dan seharusnya mendahului pada babak pertama dengan beberapa peluang namun gagal disempurnakan dengan baik.

Penyerang N Thanabalan gagal menanduk tepat bola hantaran lintang di depan pintu gol pada minit ke-6 manakala sepakan sudut Safawi Rasid pula ditepis keluar penjaga gawang Indonesia Satria Tama Hardiyanto di ke-29.

Kecederaan S Kumaahran menyebabkan Kim Swee memasukkan penyerang Jafri Firdaus Chew dengan saingan babak pertama berakhir 0-0.

Aksi lebih mendebarkan pada separuh masa kedua dengan kebuntuan untuk mendapatkan gol dileraikan menerusi tandukan Thanabalan pada minit ke-87 sekali gus mencipta gemuruh 80,000 penyokong.

Malaysia sudah empat kali bertemu Thailand di final Sukan SEA dengan kali terakhir di Kuala Lumpur, skuad negara tewas 0-1.

Kim Swee membimbing pasukan negara menjuarai pingat emas kali terakhir di Sukan SEA Jakarta 2011.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 12:02am
d