utama

'Ong Bak cetus minat saya'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: “Sebelum ini saya tidak pernah minat dengan mana-mana seni bela diri, namun selepas menonton filem aksi Thailand, Ong Bak saya tertarik dengan muay thai,” kata peninju muda Fatin Najihah Ab Wahid, 18.

Fatin Najihah berkata, minatnya terhadap sukan itu bermula sejak berada di tingkatan tiga sebelum meluahkan hasrat mempelajari selok-belok sukan muay thai kepada abangnya, Amir Hamzah, 21, yang juga penggemar sukan tradisional Thailand.

“Pada peringkat awal, saya mendapat sokongan daripada ayah dan adik-beradik lain, namun umi (Zakiah Zakaria, 50) kurang bersetuju kerana beranggapan sukan ini berbahaya.

“Namun selepas umi melihat kesungguhan dan minat saya, akhirnya dia akur dan kini memberi sokongan kepada saya mengejar cita-cita bergelar peninju profesional.

“Alhamdulillah menerusi latihan intensif dan bimbingan daripada jurulatih berserta keazaman tinggi, saya berjaya merangkul pingat gangsa dalam Kejohanan Muay Thai Peringkat Sekolah dan Remaja Kebangsaan di Kuala Lumpur pada Mei tahun lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Anak kelima daripada enam beradik ini berkata, jantina bukan penghalang untuk menceburi sukan ini, asalkan mempunyai minat dan disiplin tinggi mampu menjadikan seseorang itu peninju hebat dan disegani oleh pihak lawan.

Katanya, pergerakan wanita dalam muay thai sama seperti lelaki, yang penting ketangkasan dan tahu cara menggunakan teknik yang dipelajari.

“Pada waktu lapang setiap petang, saya meluangkan masa sekurang-kurangnya dua jam bermula 5 petang hingga 7 malam untuk berlatih di Kelab Muay Thai Tok Merah, Pintu Geng.

“Sukan yang saya pelajari ini bukan saja kerana minat dan persediaan untuk memasuki mana-mana pertandingan, malah gerakan yang lincah dapat membantu saya terutama ketika berhadapan dengan situasi bahaya,” katanya.

Sementara itu, pengasas dan jurulatih Kelab Muay Thai Tok Merah, Mohd Farizal Arifin berkata, sehingga kini lebih 100 ahli menyertai kelab itu untuk mempelajari teknik mempertahankan diri termasuk peninju amatur dan profesional.

“Mereka yang menyertai kelab ini bukan saja terdiri daripada kalangan anak muda, malah ada juga golongan profesional seperti doktor dan pegawai bank.

“Tidak dinafikan, meskipun sukan lasak ini sinonim dengan lelaki untuk menjadi peninju profesional yang menyertai pertandingan, ada juga wanita yang turut meminati sukan ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 7:56am
d