utama

Jumpa dalam plastik, di sisi uri busuk

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

BAYI lelaki masih hidup ditemui dalam semak berhampiran kuarters Pejabat Hutan Muadzam Shah, Rompin.

Bayi 2.6 kilogram yang masih bertali pusat itu ditemui peniaga ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, pada 11.40 malam tadi.

Ketua Polis Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata peniaga itu dimaklumkan lelaki warga Pakistan bahawa terdapat bayi di dalam plastik dalam semak ketika melalui kawasan itu.

“Sebaik menghampiri beg plastik itu, peniaga melihat bayi lelaki yang tanpa sebarang pakaian itu bergerak namun tidak menangis.

"Peniaga itu kemudiannya mengangkat bayi berkenaan dan terdapat uri yang membusuk di dalam plastik itu,” katanya.

Katanya, peniaga itu terus menghubungi Hospital Muadzam Shah (HMS) untuk memaklumkan kejadian itu sebelum pegawai perubatan tiba untuk memeriksa keadaan bayi malang itu.

Bayi cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kurang daripada 24 jam sebelum ditemui.

"Tiada kecederaan serius pada bayi itu sebaliknya hanya bintik merah pada jarinya berkemungkinan digigit serangga.

"Hasil pemeriksaan doktor juga mendapati bayi itu dilahirkan cukup bulan dan berada dalam keadaan sihat," katanya.

Beliau berkata, bayi itu kini ditempatkan di HMS untuk pemantauan dan pihaknya sudah memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung perkara itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 9:55am
d