utama

Kaki Irwandie kayuh emas

Oleh Azlan Muhammad Zain

ACARA scratch tidak berada dalam senarai 11 emas diletak sasaran namun Irwandie Lakasek membuktikan kemampuan mempamer kayuhan bertenaga untuk meraih emas pertama negara di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat selepas mengharungi 60 pusingan sejauh 15 kilometer.

“Saya sangat gembira pengorbanan untuk menghadapi Sukan SEA berbaloi. Saya banyak berjauhan dengan keluarga apabila menjalani latihan di luar negara.

“Malah pada tahun ini adalah kali keempat saya tidak bersama keluarga pada Aidilfitri kerana latihan di luar negara,” kata pelumba berusia 22 tahun itu.

Menurutnya, kejayaan itu turut dibantu rakan senegara Afiq Huznie Othman yang bekerja keras sepanjang perlumbaan.

Perak diraih dua atlet Thailand Thurakit Boonratanatahnakorn dan Thanuwat Sanikwathi.

Ia adalah pingat pertama dipertandingkan dalam temasya kali ini.

Malaysia berpeluang menambah koleksi emas menerusi acara pecut berpasukan lelaki dan wanita selepas mara ke final, malam ini.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 4:27pm
d